KOTA KINABALU: Polis Sabah menumpaskan dua kegiatan pengedaran dadah susulan rampasan 51.624 kilogram (kg) syabu bernilai RM2.581 juta dalam operasi berasingan di Papar dan Penampang pada 19 serta 25 Ogos lalu.
Operasi berkenaan turut membawa kepada penahanan enam individu terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, operasi pertama di Papar pada 19 Ogos membawa kepada penahanan seorang lelaki warga asing berusia 37 tahun di sebuah rumah di Skim Penempatan Kinarut kira-kira jam 9.40 pagi.
Menurutnya, suspek cuba melarikan diri sebelum berjaya ditahan dan pemeriksaan menemukan 12 paket plastik lut sinar disyaki mengandungi syabu seberat 603.90 gram.
“Serbuan susulan kira-kira jam 12.05 tengah hari di tepi jalan Skim Penempatan Kinarut membawa kepada penahanan dua wanita.
“Seorang daripada wanita berkenaan ditahan selepas turun dari sebuah kenderaan bersama beg hitam yang mengandungi bungkusan plastik lut sinar disyaki syabu seberat 1.02kg,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini pada Selasa.
Hadir sama Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mohd Azhar Hamin dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil.
Jauteh berkata, siasatan lanjut dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Penampang kemudian membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki yang dipercayai pembekal dadah di One Place Mall, Putatan.
“Keseluruhan rampasan dalam operasi itu ialah 1.624kg syabu bernilai RM81,200 yang dipercayai untuk pasaran sekitar Papar. Dadah berkenaan dianggarkan mampu dibekalkan kepada kira-kira 2,914 penagih bagi sekali penggunaan,” katanya.
Beliau berkata, keempat-empat suspek direman sehingga 2 September ini bagi membantu siasatan.
Katanya, saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah, manakala semakan turut mendapati mereka tidak mempunyai rekod lampau.
Dalam operasi berasingan di Penampang pada 25 Ogos lalu, polis menahan dua lelaki tempatan berusia 45 dan 46 tahun. Jauteh berkata, operasi kira-kira jam 4.20 petang itu dijalankan hasil maklumat berhubung kegiatan pengedaran dadah di hadapan sebuah premis di Jalan Bundusan, Beverly Hills Plaza.
“Pemerhatian polis mendapati dua kenderaan dalam keadaan mencurigakan sebelum seorang suspek dilihat memindahkan beberapa bungkusan plastik dari sebuah kenderaan ke kenderaan lain. Pemeriksaan terhadap kenderaan pertama menemukan 28 bungkusan plastik disyaki syabu seberat 28kg,” katanya.
Menurutnya, sebanyak 22 bungkusan lagi disyaki mengandungi syabu seberat 22kg ditemukan dalam kenderaan kedua.
“Keseluruhan rampasan dalam operasi itu ialah 50kg syabu bernilai RM2.5 juta. Dadah berkenaan dianggarkan mampu dibekalkan kepada kira-kira 1.43 juta penagih bagi sekali penggunaan,” katanya.
Beliau berkata, saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah dan mereka direman sehingga 2 September ini.
Katanya, semakan mendapati suspek pertama mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah, manakala suspek kedua mempunyai satu rekod kesalahan sama.
“Semua tangkapan dan rampasan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

