TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan polis selepas disyaki menceroboh sebuah kebun dan memiliki senapang angin guli buatan sendiri di Batu 15, Jalan Apas Balung, di sini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Wilynton Enchana Watt berkata, suspek ditahan selepas pemilik kebun membuat laporan berhubung kehadiran seorang lelaki tidak dikenali dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.
Menurutnya, pengadu turut mendapati suspek membawa senapang angin guli buatan sendiri selain dipercayai memotong rantai pada pintu pagar kebun.
“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Bandar Sri Indah yang menjalankan rondaan cegah jenayah pergi ke lokasi sebelum menahan seorang lelaki yang sedang duduk di bawah pokok dalam kawasan kebun.
“Hasil soal siasat awal, suspek menunjukkan lokasi senapang angin guli buatan sendiri berwarna hijau hitam yang diletakkan di atas kerusi di bawah pokok,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Wilynton berkata, polis kemudian merampas senjata berkenaan untuk siasatan lanjut.
Pemeriksaan turut mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Beliau berkata, polis akan terus mempergiat rondaan dan penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam di daerah Tawau terpelihara.
Orang ramai turut dinasihatkan menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mengesan sebarang individu atau aktiviti mencurigakan di kawasan masing-masing.

