KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mahu melahirkan lebih ramai usahawan dan inovator dalam kalangan belia, selain menjadikan negeri itu sebagai hab perniagaan bagi pasaran Borneo, BIMP-EAGA dan ASEAN.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kerajaan negeri komited mewujudkan ekosistem yang dapat menyokong keusahawanan, menarik pelaburan serta menggalakkan inovasi.
Katanya, Sabah tidak seharusnya dilihat hanya sebagai sebuah pasaran, sebaliknya perlu menjadi platform kepada pelabur dan pemain industri untuk meneroka peluang baharu di rantau ini.
“Kerajaan negeri mempunyai peranan penting dalam mewujudkan ekosistem yang sesuai bagi menyokong keusahawanan, menggalakkan pelaburan, memudah cara urusan perniagaan serta membolehkan inovasi dan pertumbuhan berkembang.
“Bagaimanapun, kerajaan tidak boleh membina masa depan bersendirian. Masa depan dibina apabila kerajaan, sektor perniagaan, pelabur, usahawan, ahli akademik dan komuniti bekerjasama,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Sabah International Business Luncheon Talk (SIBLT2026) di sini hari ini.
Teks ucapan Hajiji disampaikan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.
Hajiji berkata Sabah mahu menjadi “gerbang” yang menghubungkan idea dengan modal, usahawan dengan rakan kongsi dan inovasi dengan peluang, sekali gus membantu perniagaan tempatan berkembang ke pasaran serantau dan global.
Katanya, matlamat kerajaan bukan sekadar menarik lebih banyak perniagaan dari luar, tetapi membina syarikat yang berpangkalan di Sabah supaya mampu menjadi pemain serantau dan antarabangsa.
“Pada akhirnya, cita-cita kita bukan sekadar untuk menarik lebih banyak perniagaan ke Sabah. Sebaliknya, kita mahu mewujudkan dan menyokong lebih banyak perniagaan yang berpangkalan di Sabah agar mampu berkembang menjadi pemain serantau dan global,” katanya.
Menurutnya, semangat keusahawanan semakin penting ketika dunia berdepan perubahan teknologi, kecerdasan buatan (AI), perubahan iklim dan persaingan pasaran yang semakin sengit.
“Dalam persekitaran seperti ini, kita tidak boleh sekadar menunggu peluang datang kepada kita. Kita mesti mempunyai visi dan inisiatif untuk menciptanya. Di sinilah Sabah mempunyai potensi yang amat besar,” katanya.
Hajiji turut menyifatkan SIBLT2026 sebagai platform penting untuk menghubungkan pemimpin perniagaan, pelabur, usahawan dan pembuat dasar.
Katanya, pertemuan itu seharusnya diteruskan dengan pembentukan perkongsian, penerokaan pelaburan dan kerjasama baharu.
Beliau turut memberi penghargaan kepada penceramah utama program itu, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah, pengasas dan pengerusi Kumpulan Sunway.
Hajiji berkata perjalanan kejayaan Jeffrey mencerminkan nilai yang perlu diterapkan dalam kalangan usahawan, termasuk visi, keberanian, ketekunan dan keyakinan.
Dengan hampir 750 pemimpin perniagaan, pelabur, usahawan dan pembuat dasar menghadiri SIBLT2026, beliau berharap hubungan yang terjalin dapat diterjemahkan kepada peluang ekonomi baharu untuk Sabah.
“Janganlah kita membiarkan hubungan ini berakhir apabila jamuan tengah hari ini selesai. Marilah kita menggunakan platform ini untuk membina perkongsian, meneroka pelaburan, bertukar idea dan membuka peluang antara satu sama lain,” katanya.

