Sabah-AS perlu terus perkukuh kerjasama berteraskan kepentingan bersama
16:09 Sep 03, 2026  |  By SabahKini2
Sabah-AS perlu terus perkukuh kerjasama berteraskan kepentingan bersama

Beliau berkata hubungan antara Sabah dan AS bukan hanya melibatkan kerajaan, malah merangkumi pelajar, usahawan, penyelidik, aktivis pemuliharaan serta komuniti.

KOTA KINABALU: Kerjasama antara Sabah dan Amerika Syarikat (AS) perlu terus diperkukuh berteraskan rasa hormat dan kepentingan bersama, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata hubungan antara Sabah dan AS bukan hanya melibatkan kerajaan, malah merangkumi pelajar, usahawan, penyelidik, aktivis pemuliharaan serta komuniti.

Katanya, perkongsian yang mampan berasaskan peluang dan rasa hormat bersama mampu menyumbang kepada masa depan yang lebih makmur dan selamat.

"Marilah kita gunakan kesempatan ini untuk memperkukuh kerjasama, menterjemahkan idea kepada tindakan dan mengubah peluang kepada kejayaan yang berkekalan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang disampaikan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, pada Majlis Resepsi Freedom 250 sempena ulang tahun ke-250 kemerdekaan AS, di sini pada Rabu.

Menurut Hajiji, sebagai sebahagian daripada Malaysia, hubungan Sabah dengan AS turut berlangsung dalam kerangka perkongsian Malaysia-AS yang lebih luas.

Perkongsian itu, katanya, membuka peluang dalam sektor penting termasuk perdagangan, pendidikan, pemuliharaan alam sekitar, pelancongan, inovasi dan keselamatan maritim.

"Kita meraikan kekuatan perkongsian ini serta peluang menarik kerana Sabah bukan sekadar negeri yang memiliki keindahan alam semula jadi yang luar biasa.

"Dengan kedudukan strategik di tengah-tengah Asia Tenggara serta mempunyai hubungan dengan pasaran serantau dan global yang semakin berkembang, Sabah merupakan sebuah wilayah yang memiliki daya tahan serta kepelbagaian," katanya.

Hajiji berkata Sabah turut menawarkan potensi besar dalam pelbagai sektor termasuk tenaga boleh diperbaharui, pertanian, pembuatan, inovasi digital dan ekonomi biru, selain sumber semula jadi dan industri pelancongan.

"Sabah menawarkan peluang bermakna untuk pertumbuhan mampan," katanya.

Comment