SANDAKAN: Sekumpulan penyeludup bertempiaran melarikan diri selepas kegiatan mereka dikesan Pasukan Polis Marin (PPM) di Jeti Kampung Kombo, Jalan Leila, di sini pada awal pagi Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 pagi itu, pasukan PPM Sandakan yang menjalankan risikan mengesan beberapa individu sedang memunggah barangan dari sebuah bot ke atas jeti.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah berkata, sebaik menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa, bot terbabit terus memecut meninggalkan kawasan berkenaan.
Menurutnya, beberapa individu yang berada di jeti turut melarikan diri.
“Pemeriksaan di sekitar jeti kemudian menemukan sejumlah rokok pelbagai jenama yang dipercayai diseludup masuk dari Filipina.
“Rampasan membabitkan 40,000 batang rokok Oakley Original, 10,000 Oakley Original Menthol, 16,000 L3 Menthol dan 31,800 L3 Black Menthol,” katanya.
Beliau berkata, keseluruhan rampasan berjumlah 97,800 batang rokok tidak bercukai dengan anggaran nilai RM131,700.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan 57 kes mengikut Akta Kastam 1967 setakat ini.
Katanya, kes berkenaan membabitkan nilai rampasan keseluruhan RM8.01 juta, selain 39 individu ditahan.
“PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperhebat risikan, rondaan dan operasi penguatkuasaan khususnya di kawasan yang dikenal pasti sebagai laluan serta lokasi pemunggahan barangan seludup.
“Tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan penyeludupan dan kawalan akan terus diperkukuh bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara,” katanya.

