Sabah terus tuntut 40% hasil bersih di bawah MA63
16:09 Sep 08, 2026  |  By SabahKini2
Sabah terus tuntut 40% hasil bersih di bawah MA63

Beliau berkata perkara itu antara isu yang akan dibincangkan dalam mesyuarat berkaitan MA63 yang akan dipengerusikan Perdana Menteri pada Jumaat ini, dengan Sabah menjadi tuan rumah.

KUNAK: Kerajaan Sabah akan terus menuntut bayaran 40% hasil bersih yang menjadi hak negeri itu di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Ketua Menteri Hajiji Noor.

Beliau berkata perkara itu antara isu yang akan dibincangkan dalam mesyuarat berkaitan MA63 yang akan dipengerusikan Perdana Menteri pada Jumaat ini, dengan Sabah menjadi tuan rumah.

“Dalam mesyuarat itu kita akan bincangkan perkara-perkara yang menjadi tuntutan ataupun isu-isu yang masih perlu diselesaikan dalam Perjanjian MA63 kita,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Kilang Pengekstrakan Phytonutrient Kunak Lipids Sdn Bhd di sini hari ini.

Menurut Hajiji, kerajaan negeri menghargai komitmen kerajaan Persekutuan selepas sembilan perkara di bawah MA63 diselesaikan sepanjang pentadbiran Perdana Menteri ketika ini.

Katanya, jumlah keseluruhan perkara yang telah diselesaikan kini meningkat kepada 13, termasuk beberapa kuasa yang telah diturunkan kepada Sabah.

“Dulu ada empat perkara, jadi kesemuanya 13 perkara telah diselesaikan. Bagaimanapun, masih ada perkara-perkara lain, termasuk pembayaran 40%,” katanya.

Hajiji berkata kerajaan Persekutuan telah bersetuju dengan tuntutan 40% berkenaan, namun masih terdapat beberapa isu teknikal yang perlu diselesaikan.

“Mereka telah setuju tetapi ada lagi masalah mungkin teknikal yang dibawa. Ini proses biasa sebab ada proses rayuan, tetapi ia tidak mengganggu keputusan untuk kita mendapatkan bayaran 40% itu,” katanya.

Beliau berkata baki isu berkenaan akan terus dibawa dalam mesyuarat dan rundingan MA63 akan datang.

Sementara itu, Hajiji menyambut baik kemajuan projek Kilang Pengekstrakan Phytonutrient Kunak Lipids Sdn Bhd yang hampir siap dan dijangka mula menghasilkan vitamin E sebelum akhir tahun ini.

Katanya, projek itu memberi peluang kepada Kumpulan Sawit Kinabalu mempelbagaikan aktiviti perniagaannya menerusi penggunaan bahan berasaskan sawit.

“Saya amat berbesar hati mendengar taklimat tadi daripada Sawit Kinabalu dan syarikat bersama Sawit Kinabalu kerana kilang yang dibina untuk mengeluarkan vitamin E ini telah hampir selesai dan akan mengeluarkan vitamin E sebelum hujung tahun.

“Ini satu perkembangan yang cukup baik sebagai aktiviti dan juga perniagaan sampingan Kumpulan Sawit Kinabalu. Semua ini dibuat daripada bahan-bahan sawit dan sebagainya,” katanya.

Hajiji berkata projek itu dipercayai yang pertama seumpamanya di Malaysia dan diharap dapat meningkatkan pendapatan Sawit Kinabalu serta syarikat kerjasamanya.

“I think this is the first in Malaysia. Jadi ini satu perkembangan yang bagus. Mudah-mudahan ia akan dapat menambah hasil Sawit dan juga syarikat kerjasama,” katanya.

Terdahulu, Hajiji dan rombongan disambut Pengerusi Sawit Kinabalu, Hazem Mubarak Tun Dr Musa, serta Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sawit Kinabalu, Victor Ationg.

Kunak Lipids Sdn Bhd ialah anak syarikat Kumpulan Sawit Kinabalu yang mengendalikan Kilang Pengekstrakan Phytonutrient di Kunak.

Comment