PARIS: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) akan mengadakan mesyuarat berkaitan kecerdasan buatan (AI) minggu depan, ketika kebimbangan antarabangsa terhadap ancaman teknologi itu semakin meningkat.
Sumber diplomatik Perancis berkata mesyuarat berkenaan dijadual berlangsung ketika Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), yang menghimpunkan pemimpin dunia di ibu pejabat PBB di New York.
Perancis kini memegang jawatan Presiden UNSC.
Bagaimanapun, sumber itu tidak mendedahkan tarikh sebenar mesyuarat berkenaan.
"Dari segi hal ehwal global, isu AI akan menjadi keutamaan sangat tinggi dalam agenda menerusi dua sudut berbeza.
"Kami melihat wujud kebimbangan mendalam berhubung kesannya terhadap kanak-kanak," katanya kepada pemberita.
Menurutnya, terdapat juga kebimbangan terhadap ancaman sedia ada yang ditimbulkan teknologi AI terhadap keselamatan sejagat.
Isu keselamatan berkaitan AI menjadi perhatian media antarabangsa sejak beberapa minggu kebelakangan ini, termasuk gesaan beberapa ketua syarikat AI supaya kawal selia lebih ketat dilaksanakan bagi memperlahankan pembangunan teknologi berkenaan.
Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menolak dakwaan bahawa AI boleh mengancam manusia.
Menerusi platform Truth Social, Trump menyifatkan kebimbangan bahawa AI bakal mengambil alih, menguasai dan memusnahkan dunia sebagai satu "penipuan" dan "konspirasi gila".
"Saya adalah 'pembasmi penipuan', dan saya sekarang sedang mematahkan satu lagi penipuan - bahawa AI bakal mengambil alih, menguasai serta memusnahkan dunia, dan kononnya robot akan berarak memasuki bandar untuk menghapuskan kita semua!" katanya.

