Lelaki 50 tahun maut dalam kemalangan motosikal dan lori di Kunak
17:09 Sep 17, 2026  |  By SabahKini2
Lelaki 50 tahun maut dalam kemalangan motosikal dan lori di Kunak

Ketua Polis Daerah Kunak, Superintenden Rejali Ak Angong berkata, kemalangan berlaku ketika lori berkenaan dipandu seorang lelaki berusia 20-an dari arah Lahad Datu menuju ke Kunak.

KUNAK: Seorang lelaki berusia 50 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 6, Jalan Kunak-Lahad Datu, di sini, kira-kira jam 11 pagi tadi.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan akibat mengalami kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Kunak, Superintenden Rejali Ak Angong berkata, kemalangan berlaku ketika lori berkenaan dipandu seorang lelaki berusia 20-an dari arah Lahad Datu menuju ke Kunak.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai secara tiba-tiba keluar dari simpang di sebelah kanan arah perjalanan lori.

“Disebabkan jarak terlalu dekat, pemandu lori tidak sempat mengelak sebelum berlaku perlanggaran.

“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rejali berkata, pemandu lori bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, khususnya ketika keluar dari simpang.

“Pastikan keadaan lalu lintas dan jarak selamat sebelum meneruskan perjalanan.

“Pengguna jalan raya juga diminta lebih bertimbang rasa ketika memandu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.

Comment