SEMPORNA: Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun ditahan polis selepas disyaki menceroboh dan mencabul seorang pelancong wanita warga China di sebuah resort di daerah ini, awal pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Tan Hiap Wah berkata, suspek ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna di kawasan resort berkenaan kira-kira jam 8 malam.
Menurut beliau, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 3 pagi ketika mangsa berusia 25 tahun sedang tidur di biliknya.
“Siasatan awal mendapati mangsa menyedari kehadiran seorang lelaki di dalam biliknya.
“Suspek dipercayai memegang tangan mangsa dan menanggalkan sebahagian pakaiannya sebelum berlaku pergelutan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tan berkata, mangsa kemudian berjaya melarikan diri dan bersembunyi di kawasan semak berhampiran sebelum ditemukan seorang pekerja resort beberapa jam kemudian.
Katanya, suspek turut dipercayai menarik rambut mangsa sehingga wanita itu terjatuh ketika cuba melarikan diri.
“Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana siasatan masih dijalankan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh rumah dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan.

