Kerajaan sedia RM63.5 juta perkukuh pasaran sawit, bantu pekebun kecil
19:09 Sep 24, 2026  |  By SabahKini2
Kerajaan sedia RM63.5 juta perkukuh pasaran sawit, bantu pekebun kecil

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata peruntukan itu penting bagi memastikan industri sawit negara kekal berdaya saing, selain memberi manfaat secara langsung kepada pekebun kecil.

KOTA KINABALU: Kerajaan memperuntukkan RM63.5 juta menerusi Belanjawan 2026 bagi memperkukuh pasaran sawit, meningkatkan pensijilan mampan dan menangani kempen anti-minyak sawit di peringkat global.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata peruntukan itu penting bagi memastikan industri sawit negara kekal berdaya saing, selain memberi manfaat secara langsung kepada pekebun kecil.

Katanya, kejayaan industri tidak seharusnya hanya diukur melalui peningkatan pengeluaran dan nilai eksport, sebaliknya turut mengambil kira peningkatan hasil kebun serta pendapatan pekebun kecil.

“Keberhasilan sebenar ialah apabila kemajuan industri ini turut meningkatkan hasil kebun, mengukuhkan pendapatan dan menjamin masa depan pekebun kecil,” katanya ketika merasmikan Persidangan Kebangsaan Pekebun Kecil Sawit (PKPKS) 2026 di sini.

Persidangan dua hari itu menghimpunkan hampir 800 peserta dari seluruh negara bagi membincangkan perkembangan industri sawit, teknologi, bantuan dan manfaat yang disediakan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) serta Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Noraini berkata Sabah dipilih sebagai tuan rumah PKPKS 2026 berikutan kedudukannya sebagai pengeluar kedua terbesar minyak sawit mentah (CPO) negara pada 2025, menyumbang hampir 24% daripada keseluruhan pengeluaran negara.

Menurutnya, lebih 15% keluasan tanaman sawit negara diusahakan pekebun kecil yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelangsungan rantaian bekalan industri.

“Di sebalik angka itu, terdapat ribuan pekebun kecil yang menjadikan sawit sebagai sumber pendapatan utama keluarga.

“Merekalah yang perlu merasai manfaat apabila industri sawit terus berkembang,” katanya.

Noraini berkata kerajaan akan terus memperkukuh bantuan penanaman semula, latihan, teknologi, pendigitalan dan akses pasaran menerusi Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN 2030).

Katanya, isu pokok sawit tua perlu diberi perhatian kerana usia tanaman mempunyai kaitan langsung dengan hasil kebun dan pendapatan pekebun kecil.

Melalui Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS), katanya, pekebun kecil dibantu menggantikan pokok tua dengan bahan tanaman berkualiti tinggi.

“Matlamatnya jelas, kita mahu kebun yang lebih produktif dan pendapatan yang lebih baik untuk pekebun kecil,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Noraini berkata tuntutan pasaran antarabangsa kini bukan hanya tertumpu kepada produk yang dihasilkan, tetapi turut merangkumi aspek kemampanan, ketelusan dan kebolehjejakan.

Katanya, Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) menjadi instrumen penting untuk memperkukuh kemampanan industri serta membuka akses lebih luas kepada pasaran antarabangsa.

“Hampir 253,000 pekebun kecil persendirian di seluruh negara sudah memperoleh pensijilan MSPO membabitkan 162 Kluster Minyak Sawit Mampan (SPOC) dengan keluasan melebihi 723,000 hektar.

“Di Sabah pula, 30,384 pekebun kecil memperoleh pensijilan MSPO membabitkan kawasan tanaman melebihi 188,000 hektar, mewakili 97.17% daripada keseluruhan keluasan tanaman sawit milik pekebun kecil persendirian di negeri ini,” katanya.

Kerajaan turut memperkukuh Sistem Kebolehjejakan Komoditi Malaysia (SKKM), termasuk penggunaan teknologi digital seperti Sawit Intelligent Management System (SIMS) dan GeoSAWIT bagi meningkatkan ketelusan rantaian bekalan sawit.

Sementara itu, Ketua Pengarah MPOB, Datuk Badrul Hisham Mohd, berkata kejayaan agensi itu tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah teknologi atau penyelidikan yang dihasilkan semata-mata.

Sebaliknya, katanya, teknologi berkenaan perlu sampai kepada pekebun kecil dan digunakan untuk meningkatkan hasil serta produktiviti, mengurangkan kos dan menyelesaikan masalah di kebun.

“Kalau pekebun kecil masih berdepan dengan masalah yang sama, itu bermakna kerja kita masih belum selesai.

“Teknologi hanya akan memberikan nilai apabila digunakan, difahami dan benar-benar membantu pekebun kecil di lapangan dengan kos yang efektif,” katanya.

Badrul berkata MPOB akan terus membawa penyelesaian praktikal ke lapangan termasuk bahan tanaman berkualiti, amalan pertanian baik, mekanisasi, teknologi digital dan kecerdasan buatan.

MPOB turut membangunkan GeoSAWIT sebagai platform geospatial nasional bagi menyokong aspek kemampanan dan kebolehjejakan industri sawit.

Menurut Badrul, MPOB turut memperkenalkan Pelan Agrikomoditi Sawit 2030 (PAUS 2030) sebagai hala tuju baharu untuk membentuk industri sawit yang lebih produktif, berteknologi rendah karbon dan mempunyai nilai pasaran lebih tinggi.

Pelan itu digerakkan menerusi tiga agenda utama iaitu reformasi institusi, menerajui industri dan menjana ekonomi.

“Produktiviti mesti diterjemahkan kepada pendapatan, inovasi mesti diterjemahkan kepada nilai ekonomi dan pembangunan industri mesti membawa pendapatan kepada rakyat,” katanya.

Katanya, PAUS 2030 bukan agenda MPOB semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada manfaat ekonomi untuk industri dan rakyat, termasuk pekebun kecil.

Badrul berkata penyertaan pekebun kecil dalam SPOC turut diperkukuh menerusi sokongan pegawai Tunjuk Ajar dan Nasihat Sawit (TUNAS).

Sehingga Jun 2026, sebanyak 192 SPOC memperoleh pensijilan MSPO membabitkan 197,933 pekebun kecil persendirian di seluruh negara.

Katanya, kekuatan pekebun kecil juga boleh dipertingkatkan menerusi kerjasama berkelompok dan koperasi seperti Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM).

“Penjualan buah tandan segar melalui koperasi bukan sahaja dapat memperkukuh kedudukan pekebun kecil dalam rantaian nilai, malah membuka peluang pulangan lebih baik.

“Apabila pekebun kecil bersatu, suara menjadi lebih kuat, kuasa tawar-menawar menjadi lebih baik dan peluang mencipta nilai juga lebih besar,” katanya.

Beliau turut menegaskan peranan pegawai TUNAS perlu diperkasakan sebagai penghubung antara MPOB dengan pekebun kecil.

“TUNAS mesti menjadi mata MPOB untuk melihat masalah, telinga MPOB untuk mendengar suara pekebun kecil dan tangan MPOB untuk membantu menyelesaikan masalah,” katanya.

Persidangan itu turut menyaksikan pelancaran Sistem Kod Amalan Baik Tapak Semaian Sawit (e-CoPN), selain penerbitan prosedur operasi standard berkaitan bancian kumbang pendebunga, pengiraan pembentukan buah serta teknik Hatch and Carry.

Kerjasama MPOB dan FELDA melalui memorandum persefahaman (MoU) turut diperkukuh bagi penyelidikan berkaitan perubahan iklim, pengurusan sumber air dan biodiversiti.

Program itu turut menyaksikan penyampaian Anugerah Industri Sawit Malaysia bagi kategori Pekebun Kecil Persendirian dan Tersusun serta Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) Terbaik.

Comment