Pelancong China maut ketika snorkeling di Pulau Mengalum
19:09 Sep 24, 2026  |  By SabahKini2
Pelancong China maut ketika snorkeling di Pulau Mengalum

Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, mangsa dipercayai lemas ketika melakukan aktiviti snorkeling di kawasan perairan yang mempunyai kedalaman kira-kira 1.5 meter.

KOTA KINABALU: Seorang pelancong wanita warga China berusia lingkungan 30-an maut selepas dipercayai lemas ketika menyertai aktiviti snorkeling di perairan Pulau Mengalum, di sini, hari ini.

Mangsa sebelum itu menyertai rombongan yang disertai 16 pelancong lain sebelum menaiki bot ke pulau berkenaan untuk melakukan aktiviti snorkeling.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada kira-kira jam 1.30 petang.

Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, mangsa dipercayai lemas ketika melakukan aktiviti snorkeling di kawasan perairan yang mempunyai kedalaman kira-kira 1.5 meter.

“Mangsa dipercayai melakukan aktiviti snorkeling selama kira-kira 15 minit sebelum seorang kru bot yang memantau pelancong menyedari mangsa terapung dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Mangsa kemudian dibawa ke darat sebelum bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dilakukan, namun mangsa tidak memberikan sebarang tindak balas,” katanya ketika dihubungi.

Shahrudin berkata, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

Katanya, pasukan forensik polis turut menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian dan tidak menemukan sebarang unsur jenayah.

“Polis sudah merakam percakapan saksi selain mengambil gambar di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.

“Kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Difahamkan, mangsa datang ke Sabah menggunakan pakej pelancongan sebelum menyertai aktiviti snorkeling bersama rombongan berkenaan di Pulau Mengalum.

Comment