TAWAU: Seramai 87 Pendatang Tanpa Izin (PTI) warganegara Indonesia dihantar pulang ke negara asal melalui laluan laut dari Pelabuhan Tawau ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, Sitti Saleha Habib Yussof berkata, penghantaran pulang itu merupakan sebahagian daripada proses pemindahan tahanan PTI yang telah selesai menjalani hukuman.
Menurutnya, pemindahan turut membabitkan lima lelaki dewasa warganegara Pakistan yang dihantar ke Karachi dan Lahore dengan transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Seorang lelaki dewasa warganegara India dihantar ke New Delhi, manakala seorang perempuan dewasa warganegara Filipina dihantar ke Manila.
“Sehingga kini, seramai 5,399 tahanan PTI sudah dipindahkan ke negara asal masing-masing,” katanya.
Beliau berkata, daripada jumlah keseluruhan itu, 1,575 merupakan warganegara Indonesia, Filipina (3,527), Pakistan (125), China (128), Vietnam (21) dan 23 tahanan daripada lain-lain kewarganegaraan.
Sitti Saleha berkata, semua tahanan berkenaan telah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang ditetapkan.
Katanya, mereka juga mempunyai Surat Perjalanan Laksana Pasport (SPLP) serta dokumen sah bagi membolehkan proses pemindahan ke negara asal dilaksanakan.
Dalam pada itu, beliau menggesa masyarakat supaya lebih peka terhadap persekitaran komuniti dan tidak bersekongkol melindungi atau menggaji PTI.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan PTI boleh melaporkannya kepada JIM Sabah menerusi saluran rasmi seperti Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) atau Sistem Pertanyaan Online (SPO),” katanya.

