KOTA KINABALU: Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) perlu mempertingkatkan peranannya dalam menyediakan pendidikan akademik serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang selari dengan keperluan industri dan pasaran pekerjaan semasa.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata sebagai institusi pendidikan yang mempunyai hubungan rapat dengan agenda pembangunan modal insan Yayasan Sabah, KTYS perlu terus responsif terhadap perubahan industri, teknologi dan keperluan tenaga kerja negeri.
Beliau berkata pasaran kerja ketika ini bukan sahaja menuntut kecemerlangan akademik, malah memerlukan kemahiran teknikal yang tinggi, pemikiran kritikal serta keupayaan menyesuaikan diri dengan pantas.
“Pihak pengurusan dan seluruh warga KTYS perlu terus meningkatkan mutu program pendidikan dan latihan dengan sentiasa mengambil kira perkembangan industri serta keperluan sebenar pasaran pekerjaan.
“Jadikan perkembangan graduan sebagai salah satu ukuran penting keberkesanan program yang ditawarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Konvokesyen KTYS ke-29 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.
Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam.
Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah berkata pengalaman alumni dalam pekerjaan dan pengajian lanjutan serta maklum balas pihak industri dan majikan perlu dimanfaatkan bagi menambah baik program pengajian dari semasa ke semasa.
Menurut beliau, sebagai ejen perubahan, graduan KTYS mempunyai peranan penting dalam memastikan pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara lancar, stabil dan memberi impak jangka panjang.
Dalam pada itu, beliau berkata pihak industri juga perlu memainkan peranan dengan menyediakan peluang latihan, bimbingan, pendedahan dan pengalaman kerja kepada pelajar.
Hajiji berkata kerajaan negeri turut memperuntukkan RM437.93 juta menerusi Belanjawan Sabah 2026 bagi memperkasa dan membangunkan modal insan, bukan sahaja dari aspek akademik tetapi juga spiritual.
“Tahun ini juga menandakan tahun pertama pelaksanaan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 2.0. Komitmen ini perlu diterjemahkan kepada hasil yang dapat dirasai oleh rakyat.
“Ukuran kejayaannya adalah sejauh mana lebih ramai anak Sabah berpeluang melanjutkan pengajian, menguasai kemahiran dan memperoleh pekerjaan yang mampu meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya.
Beliau berkata Kumpulan Yayasan Sabah terus memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan pendidikan anak negeri menerusi pelbagai bentuk bantuan, termasuk biasiswa dan pinjaman pengajian.
Katanya, Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) pula telah menyalurkan RM40 juta bantuan sejak dilancarkan pada 2 Jun 2022, yang memberi manfaat kepada 27,781 pelajar di seluruh negeri.
Sementara itu, Hajiji menasihati graduan supaya menganggap konvokesyen bukan sebagai titik akhir pendidikan, sebaliknya permulaan kepada tanggungjawab lebih besar untuk menyumbang kepada masyarakat dan ekonomi negeri.
Beliau turut mengingatkan graduan supaya menjaga nama baik diri, keluarga dan KTYS dengan mengamalkan integriti serta menggunakan ilmu yang diperoleh untuk berinovasi apabila memasuki alam pekerjaan.

