KOTA KINABALU: Seorang penjawat awam lelaki berusia 40-an direman tujuh hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah berhubung dakwaan menyalahgunakan kedudukan untuk mengesahkan Sijil Pengesahan Siap bagi 15 projek kerajaan bernilai kira-kira RM2 juta.
Perintah reman terhadap suspek sehingga 12 Oktober itu dikeluarkan Majistret Flavian Edward Henry di Mahkamah Majistret Keningau pada Selasa.
Perintah berkenaan dibuat selepas permohonan dikemukakan SPRM.
Suspek sebelum itu ditahan kira-kira jam 4 petang Isnin ketika hadir memberikan keterangan di Pejabat SPRM Cawangan Keningau.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan berkenaan antara 2021 hingga 2024.
Suspek disyaki mengesahkan Sijil Pengesahan Siap bagi 15 projek kerajaan yang dilaksanakan sebuah syarikat yang dipercayai mempunyai kaitan dengan ahli keluarganya.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Siasatan masih dijalankan bagi melengkapkan kes.

