KOTA KINABALU: Kakak tiri Allahyarham Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner bahawa beliau tidak pernah tinggal bersama remaja itu dan tidak mengetahui secara langsung cara ibunya menjaga serta membesarkannya.
Malianah Mahathir, 25, yang merupakan saksi ke-81 prosiding inkues kematian Zara Qairina, berkata pengetahuannya mengenai kehidupan remaja berkenaan dan keluarganya banyak diperoleh menerusi media sosial serta cerita daripada bapanya.
Ketika disoal peguam Shahlan Jufri yang mewakili ibu Zara Qairina, Malianah berkata beliau pernah melihat gambar keluarga berkenaan menerusi akaun Facebook Zara Qairina, ibunya dan bapanya.
“Saya cuma melihat melalui hantaran Facebook, saya selalu melihat-lihat gambar mereka. Keluarga bahagia kan,” katanya di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Menurutnya, bapanya juga sering memuat naik gambar keluarga, termasuk gambar Zara Qairina ketika masih bayi serta gambar percutian mereka bersama.
Menjawab soalan Koroner Amir Shah, Malianah mengesahkan bahawa beliau tidak pernah bertemu atau berinteraksi secara peribadi dengan Zara Qairina sejak kelahirannya sehingga remaja itu meninggal dunia.
Beliau turut mengakui bahawa maklumat yang diketahuinya mengenai Zara Qairina adalah berdasarkan penceritaan orang lain dan bukannya daripada remaja itu sendiri.
Malianah juga bersetuju bahawa keterangannya berhubung pengalaman tidak baik yang pernah dilalui adalah membabitkan hubungannya dengan ibu Zara Qairina dan bukan pengalaman bersama Allahyarham.
Ketika ditanya koroner sama ada ibu Zara Qairina melayannya dengan buruk setiap hari sepanjang tempoh mereka tinggal bersama, Malianah menjawab: “Ah, tidaklah.”
Sementara itu, ketika disoal peguam Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip yang mewakili bapa Zara Qairina, Malianah mengakui bahawa pada awal tinggal bersama ibu Zara Qairina, beliau berasa gembira kerana mendapat seorang “mama baru”.
Beliau turut mengakui pernah dilayan dengan baik pada ketika itu.
Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas pelajar Tingkatan Satu itu ditemukan tidak sedarkan diri berhampiran longkang asrama sekolahnya kira-kira jam 4 pagi.
Prosiding inkues akan bersambung esok dengan keterangan saksi baharu.

