Pan Borneo Sipitang–Beaufort: Tambahan kerja RM60.87 juta belum dilaksana, bukti gesaan siasat ‘Chong Babi’ perlu disegerakan
03:10 Oct 07, 2026  |  By SabahKini2
Pan Borneo Sipitang–Beaufort: Tambahan kerja RM60.87 juta belum dilaksana, bukti gesaan siasat ‘Chong Babi’ perlu disegerakan

LKAN 2/2026 mendedahkan siapa sebenarnya "Chong Babi" pemilik Projek Pan Borneo Pakej WP01 dan WP02 yang gagal menyiapkan projek sekalipun mendapat peruntukan tambahan. SPRM tak boleh tunggu lagi

KOTA KINABALU: Gesaan supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat pelaksanaan dua pakej Pan Borneo di laluan Sipitang–Beaufort kembali mendapat perhatian susulan laporan mengenai perubahan kerja bernilai RM60.87 juta yang masih belum dilaksanakan.

Laporan Sabahkini2 pada 21 Julai lalu mengaitkan kontraktor Chong Kek Sang, yang disebut sebagai “Chong Babi”, dengan dua pakej Pan Borneo Jalan Sipitang- Beaufort projek membangkitkan banyak persoalan mengapa kelewatan berpanjangan masih gagal diselesaikan.

ARTIKEL BERKAITAN- SPRM digesa siasat kontraktor 'Chong BABI', dua projek Pan Borneo RM1.35 bilion Sipitang–Beaufort masih gagal disiapkan

Kini, laporan bertarikh 6 Oktober yang memetik Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026 memberikan gambaran lebih terperinci tentang masalah pelaksanaan: arahan perubahan kerja sudah diluluskan, tetapi kerja masih tidak berjalan ketika pemeriksaan susulan Audit pada 8 Mei 2026.

Sebanyak 13 item perubahan reka bentuk melibatkan 10 Arahan Perubahan Kerja (APK) dilaporkan belum dilaksanakan. Empat item dalam tiga APK membabitkan WP01, jajaran Sindumin–Kampung Melalia, manakala sembilan item dalam tujuh APK melibatkan WP02, jajaran Kampung Melalia–Beaufort.

Kelulusan APK tersebut dibuat antara 23 Jun 2023 hingga 19 Mac 2025. Ertinya, sebahagian perubahan kerja sudah diluluskan hampir tiga tahun sebelum pemeriksaan susulan, namun pelaksanaannya masih tersangkut.

Keadaan ini menuntut penjelasan lebih besar daripada sekadar satu lagi pengumuman tarikh siap.

Menurut laporan LKAN, pertikaian kadar harga, kelemahan komunikasi antara perunding dengan kontraktor serta kelewatan laporan teknikal menyumbang kepada kegagalan melaksanakan kerja.

Lebih membimbangkan, isu pertikaian itu hanya dibangkitkan secara terperinci kepada Kementerian Kerja Raya (KKR) pada 2026, selepas masalah pelaksanaan berlarutan bertahun-tahun.

Mengapa pertikaian yang menghalang kemajuan projek tidak diselesaikan lebih awal? Siapa yang bertanggungjawab memastikan arahan dilaksanakan, dan apakah tindakan ketika kerja terus tertangguh?

JKR Sabah dilaporkan memaklumkan bahawa kontraktor enggan melaksanakan APK kerana kadar harga yang digunakan berasaskan harga 2017.

Pertikaian harga memerlukan penyelesaian kontraktual yang jelas. Namun, apabila rundingan berlarutan sehingga kerja terhenti, kerajaan mesti menjelaskan bagaimana kepentingan pengguna jalan raya dilindungi sepanjang tempoh tersebut.

Masalah prestasi projek ini juga sudah berada dalam pengetahuan kerajaan sebelum laporan audit terbaharu. Dalam jawapan bertulis Parlimen pada Januari 2026, kerajaan menyenaraikan prestasi kontraktor yang kurang memuaskan sebagai salah satu punca kelewatan, selain cuaca dan kekangan pengambilan tanah. Jawapan itu turut menyatakan isu pengambilan tanah berkenaan telah diselesaikan sepenuhnya.

Ini menjadikan persoalan penguatkuasaan kontrak semakin mendesak. Setelah kelemahan prestasi dikenal pasti, apakah ukuran yang digunakan untuk menentukan kontraktor masih mampu menyiapkan projek?

Sabahkini2 melaporkan WP01 dilaksanakan oleh Juta Hajat Sdn Bhd–Kumpulan Kemajuan KK (Sabah) Sdn Bhd JV dengan nilai kontrak RM483.06 juta. WP02 pula dilaksanakan oleh Expowarisan Sdn Bhd–Katata Construction (S) Sdn Bhd JV, bernilai RM861.90 juta. Syarikat  Expowarisan merupakan milik keluarga Chong Babi. Juta Hajat Sdn Bhd–Kumpulan Kemajuan KK (Sabah) pula merupakan lesen yang disewa oleh Chong Babi.

Oleh itu, siasatan yang dituntut perlu meneliti keseluruhan rantaian keputusan: kontraktor, perunding, penyelia projek dan pihak yang mengurus kelulusan serta pertikaian kerja.

Bagi rakyat Sipitang dan Beaufort, isu jalan ini sudah merentasi pertukaran pentadbiran, dari era Musa Aman kepada Shafie Apdal dan kini Datuk Seri Hajiji. Titik hitam utama projek Pan Borneo ialah penamatan perkhidmatan Rakan Pelaksana Projek (PDP) serta perubahan model tadbir urus dan pentadbiran kontrak kepada kaedah konvensional dilihat sebagai antara punca pelaksanaan Pan Borneo Sabah semakin bermasalah. Sebaliknya, Sarawak mengekalkan pendekatan PDP, termasuk pembiayaan melalui sukuk, bagi meneruskan pelaksanaan projek.

Laporan Ketua Audit Negara projek pakej WP01 dan WP02 betapa teruknya kontraktor bernama ‘Chong Babi’.

Menurut pelan pemulihan yang dipetik dalam laporan 6 Oktober, WP01 dijangka siap pada Disember 2026, manakala WP02 pada Mei 2028. Kontraktor turut diminta meneruskan kerja sementara pertikaian harga diselesaikan.

Sasaran itu mesti disertai pencapaian bulanan yang boleh diperiksa, tindakan terhadap kegagalan memenuhi jadual serta penjelasan tentang baki kerja. Tanpa ukuran tersebut, tarikh siap hanya menjadi janji yang sukar dipertanggungjawabkan.

Rakyat mendesak SPRM membuka siasatan terhadap pengurusan dan pelaksanaan kedua-dua pakej. KKR dan JKR Sabah pula perlu mendedahkan status APK, keputusan pertikaian harga, bayaran kemajuan serta tindakan penguatkuasaan kontrak.

Rakyat berhak mengetahui mengapa kerja yang sudah diluluskan masih belum dilaksanakan — dan siapa yang akan dipertanggungjawabkan untuk memastikan jalan itu akhirnya siap. Jangan biarkan Chong Babi berpaut pada kabel “Istana Bukit’ sahaja.

 

Comment