KOTA KINABALU: Program Felo Sabah Maju Jaya (SMJ) bukan sekadar program pembangunan belia, sebaliknya menjadi platform melahirkan pemimpin masa depan Sabah, kata Ketua Menteri Hajiji Noor.
Katanya, pemilihan peserta sebagai Felo SMJ merupakan satu kepercayaan, amanah dan pelaburan kerajaan negeri terhadap masa depan Sabah.
“Saya mahu melihat para Felo SMJ bukan sekadar sebagai satu peluang untuk menambah pengalaman, tetapi sebagai satu tanggungjawab untuk mempersiapkan diri menjadi sebahagian daripada generasi yang akan membawa Sabah ke hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Watikah Felo SMJ 5.0 di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Menurut Hajiji, peserta dipilih kerana mempunyai potensi dan bakat untuk berada di barisan hadapan dalam membuat keputusan, memimpin organisasi, menggerakkan ekonomi serta menentukan hala tuju negeri.
Katanya, kerajaan negeri mahu Felo SMJ 5.0 memberi impak lebih besar terhadap pembangunan anak muda Sabah, bukan hanya dari segi penyertaan dan aktiviti.
“Kita mahu mereka yang menyertai program ini keluar dengan pemikiran yang lebih matang, keyakinan yang lebih tinggi, jaringan yang lebih luas dan kemampuan sebenar untuk menyumbang kepada negeri,” katanya.
Hajiji turut menghargai komitmen syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang membantu menjayakan program berkenaan dengan memberi peluang kepada anak muda mendapat pendedahan dalam pengurusan, pentadbiran dan sektor korporat.
Beliau berkata pembangunan bakat anak Sabah perlu dijadikan sebahagian daripada komitmen utama GLC dan tidak hanya dilihat sebagai program atau tanggungjawab sosial korporat.
“Pembangunan bakat anak Sabah mesti menjadi sebahagian daripada agenda kita membangunkan negeri ini.
“Sabah mempunyai ramai anak Sabah yang pintar, kreatif, mempunyai keberanian dan bercita-cita besar, namun ada yang mungkin hanya memerlukan satu peluang atau seorang mentor untuk menyerlah,” katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri tidak mahu anak Sabah terpaksa berhijrah kerana tiada ruang untuk mengembangkan bakat mereka di negeri sendiri.
“Kita mahu anak Sabah mempunyai pilihan untuk membina masa depan di sini,” katanya.
Hajiji berkata menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0), Sabah memerlukan modal insan berdaya saing bagi memacu transformasi negeri ke arah ekonomi masa depan yang mampan dan berteknologi tinggi.
Katanya, tenaga kerja yang diperlukan perlu mempunyai kemahiran bersesuaian dengan industri moden, celik teknologi dan digital, berintegriti serta kreatif.
“Sebab itu bagi saya, Felo SMJ bukan sekadar program pembangunan belia. Ia adalah tapak semaian kepimpinan masa depan Sabah,” katanya.
Hajiji berkata kerajaan negeri juga mahu melahirkan pemimpin yang bukan sahaja mempunyai ilmu dan kemahiran, tetapi berjiwa rakyat serta memahami keperluan komuniti.
Beliau turut menyeru Felo SMJ 5.0 menggunakan peluang itu untuk membina disiplin, empati, wawasan dan keberanian, selain menjadikan integriti sebagai asas kepimpinan.

