Hajiji zahir penghargaan atas khidmat Mohd Razali
00:10 Oct 08, 2026  |  By SabahKini2
Hajiji zahir penghargaan atas khidmat Mohd Razali

Dalam pertemuan itu, Hajiji merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Mohd Razali atas khidmat bakti, komitmen serta kerjasama yang diberikan sepanjang menerajui Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, menerima kunjungan hormat Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab, sempena persaraan beliau di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Dalam pertemuan itu, Hajiji merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Mohd Razali atas khidmat bakti, komitmen serta kerjasama yang diberikan sepanjang menerajui Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah.

Beliau turut menghargai peranan Mohd Razali dalam memperkukuh hubungan dan kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, khususnya membabitkan jabatan serta agensi Persekutuan dalam menyokong pelaksanaan agenda pembangunan dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Hajiji berkata, hubungan baik dan sinergi antara kedua-dua kerajaan perlu terus diperkukuh demi kepentingan serta kesejahteraan rakyat Sabah.

Sementara itu, Mohd Razali turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Hajiji serta Kerajaan Negeri atas kerjasama dan sokongan yang diberikan sepanjang beliau menjalankan tugas sebagai Setiausaha Persekutuan Sabah.

Mohd Razali dilantik ke jawatan berkenaan berkuat kuasa 2 September 2025, menggantikan Datuk Seri Rosli Isa yang bersara pada 26 Ogos tahun sama.

Beliau akan bersara wajib pada 14 Oktober 2026.

Pada pertemuan itu, Hajiji turut menyampaikan ucapan selamat bersara kepada Mohd Razali serta mendoakan agar beliau dikurniakan kesihatan, kesejahteraan dan kehidupan bahagia bersama keluarga selepas menamatkan perkhidmatan.

Comment