Hospital kekurangan doktor perlu diutamakan, kata Rina
14:10 Oct 12, 2026  |  By SabahKini2
Hospital kekurangan doktor perlu diutamakan, kata Rina

Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Jainal, berkata walaupun data keperluan petugas bagi setiap hospital daerah sudah tersedia, usaha mengisi kekosongan masih menjadi cabaran besar.

TAWAU: Penempatan lebih 9,000 doktor kontrak yang bakal ditawarkan jawatan tetap tahun depan perlu mengambil kira keperluan sebenar hospital, khususnya di Sabah yang masih berdepan cabaran kekurangan tenaga kerja kesihatan.

Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Jainal, berkata walaupun data keperluan petugas bagi setiap hospital daerah sudah tersedia, usaha mengisi kekosongan masih menjadi cabaran besar.

Katanya, perancangan penempatan yang teliti penting bagi memastikan hospital yang memerlukan lebih ramai doktor mendapat bekalan tenaga kerja mencukupi.

“Kita sudah tahu keperluan tenaga kerja dan penempatan di setiap hospital daerah yang memerlukan. Data semuanya sudah ada, cuma untuk mengisi kekosongan itu memang satu cabaran yang sangat besar.

“Bagaimanapun, kita perlu usahakan yang terbaik kerana kita tidak mahu timbul masalah pada kemudian hari jika isu ini tidak dapat diselesaikan setuntasnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Pertandingan Pickleball Pink Ribbon Sabah anjuran Sabah Pink Ribbon bersama Fuji Pickleball Club Tawau, semalam.

Rina berkata, ketidakseimbangan antara jumlah petugas kesihatan dan bilangan pesakit bukan hanya berlaku di Sabah, malah turut dihadapi hospital di Semenanjung.

Katanya, meskipun perkhidmatan kesihatan masih mampu memenuhi keperluan semasa, usaha menangani kekurangan tenaga kerja perlu dipertingkat bagi mengelakkan masalah lebih serius pada masa depan.

Dalam pada itu, beliau menyambut baik peningkatan peruntukan Kementerian Kesihatan (KKM) kepada RM47.7 bilion menerusi Belanjawan 2027, berbanding RM46.5 bilion tahun ini.

Beliau berharap peningkatan peruntukan itu dapat membantu memperkukuh kemudahan dan perkhidmatan kesihatan di Sabah serta Sarawak.

Menurutnya, keperluan sektor kesihatan juga antara perkara yang perlu diberi perhatian dalam usaha merealisasikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Katanya, kerjasama semua pihak penting bagi memastikan keperluan setiap negeri diberi perhatian sewajarnya supaya rakyat dapat menikmati perkhidmatan kesihatan lebih baik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober lalu mengumumkan tawaran jawatan tetap kepada lebih 9,000 doktor kontrak tahun depan.

Ia menyusuli pelantikan tetap lebih 15,000 doktor kontrak sejak 2023, termasuk 4,000 orang tahun ini.

Anwar turut memaklumkan doktor yang berjaya menamatkan latihan siswazah selepas ini akan ditawarkan jawatan tetap sebagai pegawai perubatan.

Comment