Operasi mencari warga emas berakhir dengan penemuan mayat
15:10 Oct 13, 2026  |  By SabahKini2
Operasi mencari warga emas berakhir dengan penemuan mayat

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk, berkata mangsa ditemukan orang awam kira-kira jam 7.30 pagi dengan jala ikan tersangkut pada badannya.

KOTA BELUD: Seorang lelaki berusia 70 tahun ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai lemas ketika menjalankan aktiviti menjala ikan di Kampung Rajunah, di sini, pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk, berkata mangsa ditemukan orang awam kira-kira jam 7.30 pagi dengan jala ikan tersangkut pada badannya.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.45 pagi,” katanya.

Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan daripada polis pada jam 10.54 malam, 12 Oktober, berhubung kejadian orang hilang di kampung berkenaan.

Katanya, berdasarkan maklumat ahli keluarga, mangsa dipercayai keluar dari rumah kira-kira jam 5.30 petang dengan membawa jala ikan menuju ke sungai.

“Berdasarkan maklumat awal daripada polis, lokasi kehilangan mangsa ketika itu belum dapat dipastikan sama ada di kawasan hutan atau sungai.

“Pasukan bomba kemudian bergerak ke lokasi untuk mendapatkan maklumat lanjut sebelum tiba pada jam 11.07 malam,” katanya.

Elge berkata, operasi pencarian dijalankan menggunakan teknik Surface Search di kawasan tebing sungai.

Bagaimanapun, katanya, keadaan gelap menyukarkan usaha pencarian sebelum operasi ditangguhkan pada jam 12.20 tengah malam untuk disambung semula keesokan harinya.

“Pasukan gagal menemukan sebarang petunjuk mengenai keberadaan mangsa atau barang-barang yang dibawanya ke sungai pada malam kejadian,” katanya.

Operasi itu membabitkan lapan anggota BBP Kota Belud dan dua anggota polis.

Comment