KOTA KINABALU: Ekonomi Sabah berkembang 5.1% pada 2025, pertumbuhan tertinggi dalam tempoh enam tahun dengan nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) mencecah RM88.8 bilion.
Ketua Menteri Hajiji Noor berkata pertumbuhan itu didorong sektor perkhidmatan yang berkembang 4.5%, pembuatan (5%) dan pembinaan (28.3%).
Katanya, kerajaan negeri mahu memastikan pertumbuhan ekonomi itu diterjemahkan kepada lebih banyak peluang pekerjaan, manfaat kepada perniagaan tempatan dan peningkatan taraf hidup rakyat.
“Sabah mempunyai momentum pertumbuhan yang kukuh. Tugas kita sekarang adalah memastikan pertumbuhan ini memberi manfaat kepada perniagaan tempatan, mewujudkan lebih banyak pekerjaan dan membuka peluang kepada rakyat di seluruh negeri,” katanya.
Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Masidi Manjun, pada perasmian program Kembara Borneo 2026 Edisi Sabah anjuran Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) di Magellan Sutera Harbour Resort, di sini.
Hajiji berkata Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030 akan memberi tumpuan kepada peningkatan daya saing, produktiviti dan nilai ekonomi negeri.
Sabah menerima siling peruntukan pembangunan RM12.02 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), membabitkan 933 projek baharu dan 240 projek sambungan.
Menurutnya, peruntukan itu dijangka merancakkan pembangunan serta menarik lebih banyak pelaburan ke negeri berkenaan.
Beliau berkata SMJ 1.0 memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi selepas pandemik, manakala SMJ 2.0 bertujuan memastikan pembangunan membawa manfaat langsung kepada rakyat menerusi peluang pekerjaan, peningkatan taraf hidup dan perkhidmatan awam yang lebih baik.
Hajiji berkata Sabah turut mempunyai potensi besar dalam sektor pertanian, Ekonomi Biru dan industri hiliran berdasarkan kekayaan sumber asli, biodiversiti serta kedudukan strategiknya.
Katanya, Ekonomi Biru yang merangkumi perikanan moden, bioteknologi marin dan pelancongan berasaskan alam semula jadi berpotensi menjana pendapatan tambahan sehingga RM3.25 bilion setahun di bawah SMJ 2.0.
Beliau berkata penggunaan teknologi moden dalam sektor pertanian perlu diperluas bagi meningkatkan hasil pengeluaran dan memastikan bekalan makanan mencukupi.
Sabah juga perlu mengembangkan industri hiliran supaya lebih banyak nilai ekonomi dapat dikekalkan dalam negeri, selain membuka peluang kepada perniagaan tempatan.
Menurutnya, kedudukan Sabah berhampiran Brunei Darussalam, Indonesia dan Filipina turut memberi peluang untuk mengembangkan perdagangan, pelaburan dan pelancongan di rantau ASEAN.
Bagaimanapun, katanya, perniagaan tempatan memerlukan akses lebih luas kepada modal, kepakaran dan rangkaian pelaburan untuk berkembang ke pasaran lebih besar.
Sehubungan itu, kerajaan negeri mengalu-alukan usaha SC memperluas pilihan pembiayaan, termasuk pendanaan ramai berasaskan ekuiti (ECF), pembiayaan antara rakan setara (P2P), pelaburan bersama, modal swasta dan pasaran saham.
Hajiji turut menyambut baik Skim Keterjaminan Makanan di bawah Dana Pelaburan Bersama Malaysia (MyCIF), yang menyediakan pelaburan bersama RM1 bagi setiap RM2 diperoleh daripada pelabur swasta.
Katanya, skim itu menyokong perniagaan dalam sektor pertanian, teknologi pertanian dan bioekonomi.
Beliau berkata syarikat memerlukan pembiayaan bersesuaian pada setiap peringkat perkembangan, termasuk untuk pemprosesan hasil pertanian, teknologi pertanian, akuakultur dan logistik maritim.
Dalam pada itu, usahawan tempatan digesa memastikan rekod kewangan teratur serta memperkukuh pengurusan dan perancangan perniagaan bagi meningkatkan keyakinan pelabur.
Mereka juga perlu menjelaskan cara perniagaan menjana pendapatan, penggunaan dana dan langkah mengurus risiko kepada bakal pelabur, katanya.
Hajiji berkata pelabur dan penyedia pembiayaan pula digalakkan meneroka peluang dalam sektor pertanian, pemprosesan hasil, akuakultur, pembuatan dan pelancongan di Sabah.
Beliau berkata usaha menghubungkan perniagaan tempatan dengan modal, kepakaran dan kerjasama strategik penting bagi membantu syarikat negeri itu berkembang di peringkat nasional dan antarabangsa.

