Nelayan temukan mayat lelaki Filipina yang terjatuh ke laut
17:10 Oct 27, 2026  |  By SabahKini2
Nelayan temukan mayat lelaki Filipina yang terjatuh ke laut

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Penolong Penguasa Bomba Darikson Galanang berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Balai Polis Kudat berhubung kejadian itu pada jam 10.37 malam.

KUDAT: Seorang lelaki warga Filipina ditemukan lemas selepas dilaporkan terjatuh ke laut dari sebuah bot nelayan yang sedang berlabuh di Jeti Ko-Nelayan, di sini, malam Isnin.

Mangsa yang berusia lingkungan 20-an ditemukan sekumpulan nelayan yang melakukan selaman di sekitar lokasi kejadian kira-kira jam 10.20 pagi Selasa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Penolong Penguasa Bomba Darikson Galanang berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Balai Polis Kudat berhubung kejadian itu pada jam 10.37 malam.

Menurutnya, sepasukan anggota bomba digerakkan ke lokasi sebelum dimaklumkan mengenai kejadian seorang lelaki terjatuh ke laut dari bot nelayan berkenaan.

“Rakan mangsa yang menyaksikan kejadian itu terlebih dahulu cuba melakukan pencarian dengan menyelam di sekitar kawasan jeti, namun gagal menemukan mangsa.

“Pasukan bomba bersama polis kemudian menjalankan operasi pencarian di permukaan air sekitar lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Bagaimanapun, Darikson berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) terpaksa ditangguhkan pada jam 11.10 malam susulan keadaan persekitaran yang gelap.

Katanya, operasi disambung semula pada jam 9.20 pagi Selasa dengan menggunakan bot penyelamat bomba bagi mengesan mangsa di sekitar kawasan jeti.

“Mangsa akhirnya berjaya ditemukan pada jam 10.20 pagi oleh sekumpulan nelayan yang melakukan selaman di kawasan mangsa dipercayai terjatuh.

“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada jam 10.30 pagi sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, operasi yang turut melibatkan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Zon Kudat serta beberapa agensi lain ditamatkan sepenuhnya pada jam 11 pagi.

Comment