KOTA KINABALU: Republik Slovakia menyatakan minat untuk meneroka peluang pelaburan dalam pelbagai sektor di Sabah, termasuk pengurusan dan pemantauan jalan raya.
Hasrat itu disuarakan Duta Besar Republik Slovakia ke Malaysia, Peter Spišiak, ketika mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, di Menara Kinabalu, hari ini.
Dalam pertemuan itu, Spišiak turut memaklumkan bahawa Slovakia mempunyai kepakaran dalam bidang pemantauan air dan sektor pertahanan yang berpotensi membuka ruang kerjasama dengan Sabah.
Beliau turut menyatakan harapan agar peluang kerjasama dalam sektor berkenaan dapat diteroka bagi memperkukuh hubungan perniagaan antara Slovakia dan Sabah.
Sementara itu, Hajiji menyambut baik minat yang ditunjukkan Slovakia untuk menjalin kerjasama perniagaan dan meneroka peluang pelaburan di negeri ini.
Turut mengiringi Spišiak dalam kunjungan berkenaan ialah Pegawai Diplomatik Hal Ehwal Perdagangan dan Ekonomi Kedutaan Slovakia, Natália Furdová, serta Konsul Kehormat Republik Slovakia di Kota Kinabalu, Datuk Seri Panglima Wong Khen Thau.
Hadir sama, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.

