Operasi Gasak Laut: 10 ditahan, lebih RM269,000 direkodkan
17:10 Oct 28, 2026  |  By SabahKini2
Operasi Gasak Laut: 10 ditahan, lebih RM269,000 direkodkan

Operasi Gasak Laut dan Operasi Bersepadu Daerah Kunak itu turut merekodkan keseluruhan nilai kompaun, rampasan serta anggaran penalti berjumlah RM269,439.26.

KUNAK: Seramai 10 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dalam operasi bersepadu yang dijalankan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) di daerah ini, semalam.

Operasi Gasak Laut dan Operasi Bersepadu Daerah Kunak itu turut merekodkan keseluruhan nilai kompaun, rampasan serta anggaran penalti berjumlah RM269,439.26.

Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, operasi berkenaan membabitkan 202 pegawai dan anggota daripada 19 jabatan serta agensi penguatkuasaan.

Menurutnya, operasi itu memberi tumpuan kepada pemeriksaan premis perniagaan, pengesanan pemilikan bom ikan, selain membanteras kegiatan penyeludupan, penyelewengan barang kawalan, barang bersubsidi dan tidak bercukai.

Katanya, usaha berkenaan turut menyasarkan keberadaan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE).

"Operasi bersepadu ini juga bertujuan memperkukuh kehadiran pasukan keselamatan serta meningkatkan koordinasi dan perkongsian maklumat antara agensi bagi memastikan tindakan penguatkuasaan lebih berkesan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Victor berkata, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan enam individu hasil pemeriksaan terhadap 64 orang.

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan empat individu atas kesalahan berkaitan dadah selepas menjalankan pemeriksaan terhadap 12 premis dan 60 individu.

Dalam operasi sama, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah mengeluarkan lima kompaun berjumlah RM170,000 selepas memeriksa 10 premis perniagaan membabitkan 45 pekerja.

"Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) turut merampas rokok dengan anggaran nilai termasuk duti berjumlah RM30,939.26 hasil pemeriksaan terhadap enam premis," katanya.

Victor berkata, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) pula merampas tujuh kilogram kabel elektrik dianggarkan bernilai RM3,000 selepas memeriksa 22 rumah.

Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) turut merampas sembilan enjin pump boat, sebuah enjin sangkut dan sebuah bot dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM10,000.

Dalam pada itu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengenal pasti lima kes disyaki melakukan kesalahan untuk siasatan lanjut, dengan anggaran penalti maksimum RM50,000, tertakluk kepada hasil siasatan dan proses perundangan.

"Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) turut mengeluarkan kompaun RM5,000 dan satu notis pematuhan, manakala Majlis Daerah Kunak mengeluarkan kompaun RM500 terhadap premis yang beroperasi tanpa lesen sah," katanya.

Victor menegaskan, ESSCOM akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan selaras dengan prinsip 'Tiada Hari Tanpa Operasi' bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di pantai timur Sabah sentiasa terpelihara.

Sehubungan itu, orang ramai digesa menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan atau insiden keselamatan kepada Pusat Operasi ESSCOM menerusi talian 089-863181 atau WhatsApp 011-63311072.

Comment