KOTA KINABALU: Sebanyak 291 projek pembangunan berjaya disiapkan di Sabah sepanjang tahun ini, dengan prestasi perbelanjaan pembangunan Persekutuan di negeri itu meningkat kepada 71.78% setakat 26 Okt lalu.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pencapaian itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding 52.07% yang direkodkan pada 10 Ogos lalu, sekali gus membuktikan keupayaan agensi pelaksana mempercepat pelaksanaan projek pembangunan.
“Ini menunjukkan bahawa kita sebenarnya mampu untuk menjayakan pelaksanaan sesebuah projek dan prestasi positif ini wajar diteruskan.
“Antara projek yang berjaya disiapkan ialah Sekolah Menengah Sains Sabah di Kota Kinabalu dan Sekolah Kebangsaan Buit Hill di Penampang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Sabah di Menara Kinabalu, hari ini.
Hajiji berkata, semua kementerian, jabatan dan agensi pelaksana perlu mempergiat usaha memastikan baki peruntukan pembangunan digunakan secara optimum sebelum berakhirnya tahun kewangan 2026.
Katanya, perhatian khusus perlu diberikan kepada projek yang mempunyai baki peruntukan besar atau berdepan masalah pelaksanaan bagi mengelakkan kelewatan sehingga dikategorikan sebagai projek sakit.
Beliau turut menggesa isu berkaitan kelulusan teknikal, pengambilan tanah, pengalihan utiliti, perolehan dan pengurusan kontrak diselesaikan segera melalui penyelarasan antara agensi.
“Setiap peruntukan pembangunan adalah amanah yang mesti diterjemahkan kepada manfaat sebenar kepada rakyat.
“Peruntukan yang diluluskan seharusnya menghasilkan kemudahan dan perubahan yang dapat dirasai oleh rakyat Sabah,” katanya.
Sementara itu, Hajiji menyambut baik peruntukan RM18.7 bilion kepada Sabah menerusi Belanjawan MADANI 2027, meningkat berbanding RM17.6 bilion tahun ini.
Katanya, peningkatan itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Persekutuan dalam menangani keperluan pembangunan Sabah, khususnya infrastruktur asas dan kesejahteraan rakyat.
Antara projek diberi keutamaan termasuk Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B, projek Sistem STATCOM di Dam Road dan Segaliud, Sandakan, serta Talian Penghantaran Southern Link di Sipitang bagi memperkukuh bekalan elektrik negeri.
Beliau berkata, peruntukan hampir RM1.3 bilion untuk menaik taraf 682 sekolah daif di Sabah dan Sarawak juga penting bagi menyediakan persekitaran pembelajaran lebih selesa dan berkualiti.
Sehubungan itu, Hajiji mahu semua kementerian dan agensi berkaitan membuat persediaan rapi bagi memastikan projek dilaksanakan mengikut keutamaan serta jadual ditetapkan.
Beliau turut mengingatkan supaya mesyuarat MTPNg dijadikan platform mencari penyelesaian terhadap masalah pelaksanaan projek, bukannya sekadar membincangkan isu berbangkit.
“Kita perlu bergerak daripada sekadar membincangkan masalah kepada tindakan yang lebih jelas.
“Saya yakin melalui kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri serta komitmen seluruh jentera pelaksana, agenda pembangunan Sabah dapat terus dipacu secara mampan dan inklusif, selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya 2.0,” katanya.
Hajiji berkata, kejayaan pembangunan negeri tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah peruntukan atau bilangan projek semata-mata, sebaliknya manfaat yang diterima rakyat melalui peningkatan kualiti hidup dan kesejahteraan mereka.
Pada mesyuarat sama, beliau turut mengalu-alukan pelantikan Setiausaha Persekutuan Sabah yang baharu, Zul Hadi Ahmad, dan berharap kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan terus diperkukuh.

