TAWAU: Cubaan menyeludup masuk kira-kira 200,000 batang rokok putih tidak bercukai bernilai RM160,000 gagal selepas bot laju yang membawa muatan berkenaan mengalami kerosakan enjin ketika dikejar Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Kampung Titingan, di sini, malam Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, tekong bot bertindak terjun ke laut bagi mengelak ditahan, sekali gus meninggalkan bot bersama muatan rokok yang dipercayai diseludup dari negara jiran.
Pengarah Maritim Zon Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata, bot berkenaan dikesan bergerak dalam keadaan bergelap dari arah sempadan perairan negara ketika anggota penguat kuasa menjalankan rondaan menerusi Op Sejahtera, Op Khas Cegah PATI dan Op Tiris.
Menurutnya, bot mencurigakan itu dikesan pada kedudukan kira-kira 1.35 batu nautika barat daya Sungai Tawau sebelum diarahkan berhenti untuk pemeriksaan.
"Bagaimanapun, tekong bot bertindak memecut laju menuju ke kawasan cetek bagi mengelakkan diri daripada ditahan.
"Bot berkenaan mengalami kerosakan enjin ketika dikejar, menyebabkan tekongnya terjun ke laut dan meninggalkan bot bersama muatannya," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Ariffin berkata, keadaan perairan yang cetek serta suasana gelap menyukarkan usaha anggota penguat kuasa mengesan suspek yang melarikan diri.
Katanya, pemeriksaan lanjut terhadap bot berkenaan menemukan 20 kotak besar mengandungi kira-kira 200,000 batang rokok putih yang dipercayai cuba diseludup masuk ke negara ini.
"Nilai rokok yang dirampas dianggarkan RM160,000 termasuk cukai, manakala nilai keseluruhan rampasan membabitkan bot, enjin dan muatan dianggarkan RM190,000," katanya.
Menurutnya, semua barang rampasan dibawa ke jeti Ibu Pejabat Maritim Zon Tawau sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.
Sementara itu, Ariffin menegaskan Maritim Malaysia akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi membanteras jenayah rentas sempadan, khususnya kegiatan penyeludupan barangan tidak bercukai di Zon Maritim Malaysia termasuk Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE).
Beliau turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah di perairan Tawau supaya menghubungi Pusat Operasi Maritim Zon Tawau di talian 089-752116 atau talian kecemasan 999.

