KOTA KINABALU: Persatuan Alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah menyasarkan kutipan dana RM100,000 menerusi penganjuran kejohanan Golf Amal Prihatin sempena sambutan ulang tahun ke-25 persatuan itu.
Timbalan Yang Dipertuanya, Sazali Md Salleh, berkata kejohanan yang dijadual berlangsung pada 21 November depan di Dalit Bay Golf & Country Club, Tuaran, bertujuan membantu pelajar kurang berkemampuan selain menyokong pembangunan prasarana kampus.
Katanya, program bertemakan 'Sumbangan Berterusan, Membela Pelajar, Memperkasa Prasarana' itu menjadi platform memperkukuh komitmen alumni terhadap kebajikan pelajar dan pembangunan universiti.
"Penganjuran program ini bukan sekadar meraikan ulang tahun ke-25 Alumni UiTM Sabah, tetapi juga usaha mengumpul sumbangan bagi membantu pelajar kurang berkemampuan.
"Pada masa sama, dana yang dikumpul turut menyokong pembangunan prasarana Laluan Menara Ilmu demi manfaat warga universiti," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan hormat kepada Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, di sini, semalam.
Sazali berkata, inisiatif berkenaan mencerminkan keprihatinan alumni dalam memastikan kebajikan pelajar terus terbela, di samping meningkatkan kemudahan kampus untuk kesejahteraan warga universiti dan generasi akan datang.
Sehubungan itu, katanya, persatuan berharap mendapat sokongan padu daripada alumni, sektor korporat, penaja dan masyarakat umum bagi merealisasikan sasaran kutipan dana berkenaan.
Beliau berkata, kejohanan itu juga diharap dapat menjadi medan mempererat hubungan sesama alumni, selain menyemarakkan semangat kebersamaan dan tanggungjawab sosial dalam menyumbang kepada pembangunan pendidikan.
"Kami mengalu-alukan penyertaan orang ramai, pemain golf, alumni serta organisasi yang ingin bersama-sama menjayakan kejohanan amal ini," katanya.

