Hajiji mahu pelaksanaan projek dipercepat bagi capai KDNK RM100 bilion
20:10 Oct 29, 2026  |  By SabahKini2
Hajiji mahu pelaksanaan projek dipercepat bagi capai KDNK RM100 bilion

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kerajaan negeri sudah mengenal pasti industri berpotensi untuk dibangunkan, pelaburan yang mahu ditarik serta infrastruktur diperlukan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi Sabah.

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memberi tumpuan kepada pelaksanaan pelbagai projek pembangunan dan pelaburan strategik bagi mencapai sasaran Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) RM100 bilion menjelang 2030 menerusi agenda Sabah Maju Jaya (SMJ).

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kerajaan negeri sudah mengenal pasti industri berpotensi untuk dibangunkan, pelaburan yang mahu ditarik serta infrastruktur diperlukan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi Sabah.

Katanya, keutamaan ketika ini adalah memastikan segala perancangan berkenaan dapat dilaksanakan secara berkesan, khususnya dalam menyediakan bekalan tenaga yang stabil, mencukupi dan mampu milik.

"Apabila pelabur mempertimbangkan untuk membina kilang atau menjalankan operasi berskala besar di Sabah, mereka perlu mengetahui sama ada kita mampu menyediakan bekalan elektrik dan gas yang mencukupi, berapa kosnya serta bila bekalan itu dapat disediakan.

"Pelabur tidak boleh mengoperasikan kilang mereka hanya berdasarkan janji bekalan tenaga pada masa hadapan. Mereka perlu mengetahui apa yang benar-benar mampu kita sediakan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Persidangan Perancangan Tahunan Sabah Energy Corporation (SEC) atau PACE bersama EDGE Summit, di sini, hari ini.

Teks ucapannya disampaikan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Ceasar Mandela Malakun. Turut hadir Pengerusi SEC, Annuar Ayub.

Hajiji berkata, gas asli akan terus memainkan peranan penting dalam memenuhi keperluan tenaga Sabah, walaupun kerajaan negeri sedang memperluas pembangunan sumber tenaga boleh baharu.

Menurutnya, Sabah perlu mengimbangi peningkatan permintaan tenaga dengan kos yang berpatutan serta kelestarian alam sekitar bagi memastikan negeri itu kekal berdaya saing sebagai destinasi pelaburan.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut mencatat kemajuan dalam memperkukuh penyertaan Sabah dalam industri minyak dan gas menerusi Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan PETRONAS yang dimeterai pada Disember 2021.

Katanya, Pelan Pembekalan dan Penghantaran Gas Jangka Panjang yang dibentangkan kepada kerajaan negeri pada September lalu mengunjurkan bekalan gas Sabah berpotensi meningkat daripada kira-kira 700 juta kepada 1,350 juta kaki padu standard sehari menjelang 2030.

"Cadangan pembangunan sumber gas di Pantai Timur Sabah juga membuka peluang baharu bagi penjanaan elektrik dan pertumbuhan industri di wilayah berkenaan.

"Perkembangan ini amat menggalakkan. Apa yang penting sekarang ialah memastikan projek berkenaan dilaksanakan seperti dirancang dan manfaat yang dijangkakan dapat direalisasikan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Hajiji memuji prestasi kewangan SEC serta usaha syarikat itu memperluas operasi menerusi Agenda Transformasi Tenaga Progresif (PETA 2030).

Katanya, sejak ditubuhkan pada 1981, SEC berkembang menjadi antara syarikat tenaga utama di Sabah, khususnya dalam pembekalan, pengangkutan dan pengagihan gas.

Beliau turut menggesa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi negeri mencontohi pendekatan SEC serta memperkukuh penyelarasan bagi mempercepat pelaksanaan projek pelaburan.

Hajiji berkata, prestasi baik sesebuah agensi secara individu tidak semestinya menjamin kejayaan pembangunan negeri secara keseluruhan sekiranya kerjasama antara organisasi masih lemah.

"Sabah tidak boleh membiarkan agensinya terus bekerja secara berasingan sehingga menyebabkan pelabur terpaksa menunggu dan peluang pelaburan beralih ke tempat lain.

"Kita tidak mampu membiarkan perkara ini berlaku, terutama ketika Sabah bersaing dengan destinasi pelaburan lain," katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu semua agensi kerajaan negeri dan GLC meningkatkan perkongsian maklumat, memperkukuh kerjasama serta menyelesaikan isu pelaksanaan secara bersama tanpa dibatasi urusan organisasi masing-masing.

Beliau turut berharap persidangan berkenaan menghasilkan cadangan praktikal, kerjasama strategik baharu dan pendekatan kerja lebih berkesan bagi menyokong pembangunan ekonomi Sabah.

Comment