TUARAN: Golongan belia bukan sekadar pelapis kepimpinan masa depan, sebaliknya memainkan peranan penting sebagai pemacu ekonomi dan ejen perubahan dalam menjayakan aspirasi pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri komited memperkasa golongan itu menerusi pelbagai bantuan, dana dan latihan kemahiran bagi melahirkan generasi muda yang bukan sahaja mampu mendapatkan pekerjaan, malah mencipta peluang pekerjaan kepada orang lain.
Menurutnya, penekanan turut diberikan terhadap pembangunan kemahiran tinggi, termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), bagi memastikan belia Sabah bersedia memenuhi keperluan industri masa depan.
"Kerajaan negeri meletakkan agenda pembangunan belia sebagai salah satu keutamaan kerana golongan ini bukan sekadar pemimpin masa hadapan, tetapi merupakan pemandu ekonomi dan ejen perubahan utama yang kita perlukan hari ini untuk menjayakan aspirasi pelan pembangunan SMJ," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Tamu Belia Tuaran 2026 di sini pada Khamis.
Hajiji berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM98.06 juta kepada Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif (KBSK) bagi tahun 2026.
Katanya, peruntukan itu merangkumi pembangunan modal insan, geran persatuan belia, pembangunan sukan serta sokongan kepada usahawan muda menerusi Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS).
Selain itu, kerajaan negeri turut menyediakan inisiatif Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) kepada golongan belia yang baharu mendirikan rumah tangga.
Menurutnya, platform Pemikir Muda Ketua Menteri juga diwujudkan bagi memberi peluang kepada belia Sabah terlibat secara langsung dalam proses penggubalan dasar dan polisi pembangunan negeri.
"Dewan Belia Sabah pula menjadi platform penyatuan dan perwakilan belia untuk membincangkan isu serta hala tuju anak muda menerusi format pelaksanaan baharu di bawah seliaan kementerian berkaitan.
"Belia adalah aset penting dalam menentukan hala tuju dan masa depan negeri. Sabah mempunyai anak muda yang berbakat, kreatif, berkemahiran dan mempunyai semangat tinggi.
"Dasar dan inisiatif kerajaan negeri perlu diterjemahkan melalui program yang benar-benar menyentuh keperluan golongan belia," katanya.
Mengulas penganjuran Karnival Tamu Belia Tuaran 2026, Hajiji berkata, program berkenaan membuktikan golongan muda bukan sekadar pewaris kepimpinan masyarakat dan negeri, malah rakan strategik kerajaan dalam memacu pembangunan ekonomi, sosial serta komuniti.
Beliau berkata, karnival itu menyediakan ruang kepada belia untuk berkumpul, bertukar pandangan, mengetengahkan bakat, mengembangkan perniagaan dan membina jaringan kerjasama.
Menurutnya, konsep tamu yang menjadi sebahagian daripada warisan kehidupan masyarakat Sabah mempunyai potensi besar untuk dikembangkan sebagai platform keusahawanan dan pembangunan komuniti.
"Tamu bukan sekadar tempat jual beli, sebaliknya sebahagian daripada khazanah kehidupan masyarakat Sabah yang menghubungkan peniaga, pengusaha kecil, petani, penggiat seni dan komuniti setempat.
"Apabila konsep tamu digabungkan dengan semangat dan kreativiti belia, kita dapat mewujudkan ruang yang lebih dinamik untuk aktiviti keusahawanan, kebudayaan, kesukanan, hiburan yang sihat serta perkongsian ilmu," katanya.
Hajiji turut berharap karnival berkenaan menjadi medan kepada belia memperkenalkan produk tempatan, mempamerkan bakat seni dan budaya serta meningkatkan keyakinan diri melalui pelbagai aktiviti yang dianjurkan.
Katanya, program seumpama itu perlu diteruskan bagi melahirkan generasi muda yang berdikari, berdisiplin, berdaya saing dan mempunyai jati diri kukuh.
"Selain melahirkan usahawan baharu, kita mahu melihat lebih banyak kerjasama perniagaan, peluang pekerjaan, jaringan komuniti serta idea kreatif yang boleh dikembangkan pada masa depan," katanya.
Dalam pada itu, Hajiji menegaskan kerajaan negeri akan terus memperkukuh agenda pembangunan Sabah berdasarkan keutamaan, kemampuan sumber serta pendekatan yang bersesuaian dengan keperluan negeri.
Beliau turut berharap belia Tuaran mampu menjadi contoh kepada anak muda di daerah lain, khususnya dalam aspek kreativiti, kesukarelawanan, keusahawanan dan perpaduan masyarakat.
Bagaimanapun, katanya, kejayaan pembangunan belia tidak hanya bergantung kepada usaha kerajaan, sebaliknya memerlukan kesungguhan golongan muda sendiri, sokongan keluarga, komitmen komuniti serta kerjasama semua pihak.
Beliau berharap Karnival Tamu Belia Tuaran 2026 mencapai objektif penganjurannya dan menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif pembangunan belia di Tuaran serta seluruh Sabah.

