BEAUFORT: Kerajaan Sabah memperuntukkan RM2.3 juta tahun ini bagi memperkukuh usaha pencegahan dadah menerusi peluasan Program TEKAD Sektor Awam dan pemerkasaan SKUAD Antidadah.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata peruntukan itu diluluskan menerusi Mesyuarat Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) 2026, selain pelbagai inisiatif yang dilaksanakan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sabah.
Beliau berkata usaha membanteras penyalahgunaan dadah perlu dipergiat kerana ancaman itu bukan sahaja menjejaskan individu, malah turut memberi kesan kepada keluarga, keselamatan masyarakat dan produktiviti negeri.
Menurutnya, statistik AADK sehingga Jun 2026 merekodkan 130,307 penagih dan penyalah guna dadah di seluruh negara, menurun 3.4% berbanding 134,916 individu dalam tempoh sama tahun lalu.
Di Sabah, seramai 5,269 individu direkodkan bagi tempoh sama, dengan penurunan sebanyak 0.02% berbanding tahun sebelumnya.
"Walaupun terdapat penurunan, kita tidak boleh berasa selesa kerana ancaman dadah terus berkembang, khususnya membabitkan dadah sintetik seperti Amphetamine-Type Stimulants (ATS), bahan psikoaktif baharu (NPS) dan opioid sintetik seperti fentanyl," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program MADANI Kita 2026 dan penutupan Festival Bagandang Beaufort di Dataran Bagandang, di sini, hari ini.
Hajiji berkata golongan belia berusia 19 hingga 39 tahun perlu diberikan perhatian kerana mereka antara penggerak utama pembangunan negeri.
Katanya, penyalahgunaan dadah dalam kalangan golongan itu bukan sahaja menjejaskan masa depan individu terbabit, malah memberi kesan kepada keluarga, ekonomi dan masyarakat.
Sehubungan itu, beliau menggariskan tiga strategi utama bagi menangani ancaman berkenaan, termasuk memperkukuh peranan keluarga dan komuniti sebagai benteng pencegahan.
Menurutnya, ibu bapa perlu memantau pergaulan anak-anak, mengenal pasti perubahan tingkah laku serta membina komunikasi terbuka dalam keluarga.
Pemimpin masyarakat, persatuan belia dan sukarelawan juga perlu memperluas aktiviti positif bagi membina jati diri golongan muda.
Usaha itu, katanya, perlu turut diperluas ke kawasan luar bandar, pedalaman dan pulau bagi memastikan penduduk mendapat akses kepada pendidikan antidadah, intervensi awal dan perkhidmatan kerajaan.
Strategi kedua ialah mempertingkat penguatkuasaan serta kerjasama antara agensi termasuk AADK, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia menerusi perkongsian maklumat, risikan dan operasi bersepadu.
Hajiji berkata tindakan tegas terhadap pengedar dan sindiket perlu dilaksanakan bagi membanteras bekalan dadah serta memutuskan rangkaian pengedaran.
Strategi ketiga pula membabitkan peluasan akses kepada rawatan, pemulihan dan peluang pekerjaan bagi membantu bekas penagih kembali berdikari serta menjalani kehidupan produktif.
"Kita perlu tegas terhadap kegiatan pengedaran dadah, namun pada masa sama memberikan ruang kepada individu yang berusaha untuk pulih.
"Mereka tidak seharusnya terus dibebani stigma sehingga sukar kembali kepada keluarga dan masyarakat. Sebaliknya, mereka perlu dibimbing, diberikan peluang kedua dan dibantu untuk kembali menyumbang kepada pembangunan negara," katanya.
Antara inisiatif AADK Sabah termasuk Program Kampung Aspirasi Bebas Dadah (KABD), Program Komuniti MADANI FELDA Sejahtera, Jerayawara SKUAD Antidadah Dua Roda, Jelajah Aspirasi Bebas Dadah (JABD), Moto Day 9.0 dan Ops Cegah Khas.
Usaha itu turut melibatkan tindakan berfokus di Kawasan Berisiko Tinggi (KBT).
Hajiji berharap kerjasama kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, AADK, agensi penguatkuasaan dan masyarakat dapat memperkukuh usaha membanteras dadah hingga ke peringkat akar umbi.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata penganjuran semula Festival Bagandang dapat menghidupkan kembali tradisi kesenian yang sinonim dengan masyarakat Beaufort.
Katanya, festival itu juga menjadi platform mempersiapkan daerah berkenaan menyambut Tahun Melawat Sabah 2027, selain membuka peluang perniagaan kepada usahawan tempatan menerusi gerai jualan dan pasar tamu.
Pada majlis sama, Hajiji menyerahkan 247 geran tanah berkeluasan keseluruhan 889.21 ekar kepada penduduk kampung.
Daripada jumlah itu, 24 geran PANTAS melibatkan keluasan 77.51 ekar, manakala 223 lagi ialah geran Tanah Anak Negeri (NT) biasa seluas 811.7 ekar.

