KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah terbuka kepada pelaburan yang berwibawa dan kerjasama strategik bagi menyokong keutamaan pembangunan negeri, namun setiap cadangan perlu melalui penilaian menyeluruh sebelum sebarang kelulusan diberikan.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata keterbukaan itu perlu disertai usaha wajar dan proses membuat keputusan yang bertanggungjawab, khususnya bagi cadangan pembangunan Pusat Data Kecerdasan Buatan (AIDC) pertama di Sabah.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang disampaikan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Masidi Manjun pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi cadangan penubuhan pusat data berkenaan di sini, kelmarin.
Hajiji berkata pemeteraian MoU antara North AIDC Sdn Bhd dengan beberapa rakan kongsi global merupakan langkah permulaan yang menggalakkan, namun kemajuan sebenar projek itu bergantung kepada perancangan teliti, penilaian sewajarnya dan hasil yang memberi manfaat kepada Sabah.
Beliau menegaskan bahawa cadangan pelaburan itu masih tertakluk kepada penilaian ketat agensi kerajaan berkaitan, termasuk pembuktian daya maju teknikal dan kewangan serta pematuhan terhadap dasar kerajaan negeri, keutamaan pembangunan dan kepentingan awam.
"MoU merupakan pernyataan hasrat dan bukan dengan sendirinya bermaksud kelulusan kerajaan telah diberikan.
"Tiada sebarang cadangan, walau sebesar mana pun potensinya, boleh dikecualikan daripada penelitian yang sewajarnya," katanya.
Beliau berkata penilaian terhadap cadangan pembangunan pusat data itu perlu merangkumi aspek permintaan dan bekalan elektrik, ketersediaan air, teknologi penyejukan, perlindungan alam sekitar, penggunaan tanah serta kesalinghubungan.
Katanya, pihak pemaju perlu bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan dan penyedia perkhidmatan utiliti bagi memastikan projek itu tidak menjejaskan kebolehpercayaan perkhidmatan asas yang diperlukan rakyat.
Hajiji berkata kerajaan negeri turut memberi perhatian kepada manfaat ekonomi yang boleh dinikmati penduduk tempatan, termasuk peluang kepada syarikat Sabah dalam bidang kejuruteraan, kerja awam, telekomunikasi, logistik dan perkhidmatan sokongan.
Beliau berkata operasi pusat data moden lazimnya memerlukan tenaga kerja yang kecil tetapi berkemahiran tinggi, justeru perolehan tempatan, latihan kepakaran, pemindahan teknologi dan penyertaan syarikat tempatan perlu diberikan perhatian.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan pemaju supaya merancang penyertaan tempatan sejak peringkat awal, termasuk menyediakan peluang kepada kontraktor Sabah, menjalinkan kerjasama dengan universiti dan institusi teknikal serta melaksanakan program perantisan untuk golongan muda.
" Kita harus menilai sesuatu cadangan berdasarkan manfaat yang mampu dibuktikan dan dikekalkan, bukannya berdasarkan skala pengumuman semata-mata," katanya.
Hajiji berkata perkembangan kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran awan membuka peluang kepada Sabah untuk turut terlibat dalam pertumbuhan ekonomi digital, sekali gus memberi ruang kepada golongan muda, perniagaan tempatan dan institusi negeri memainkan peranan dalam sektor berkenaan.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa pembangunan ekonomi digital perlu mengambil kira keperluan asas rakyat, khususnya bekalan elektrik yang stabil, air bersih dan kemudahan kesalinghubungan yang lebih baik.
Menurutnya, pembangunan pusat data bergantung kepada bekalan elektrik stabil, rangkaian komunikasi yang boleh dipercayai serta sistem penyejukan dan bekalan air yang diurus dengan baik.
"Keperluan berkenaan mesti dipertimbangkan bersama keperluan isi rumah, perkhidmatan awam dan industri sedia ada.
"Ekonomi digital moden seharusnya memperkukuh infrastruktur Sabah, bukannya memberikan tekanan tambahan yang tidak perlu terhadapnya," katanya.
Beliau berkata Sabah juga boleh mengambil iktibar daripada pengalaman negeri lain termasuk Johor, yang berdepan peluang dan cabaran susulan peningkatan pembangunan pusat data, khususnya berkaitan utiliti, pengurusan alam sekitar dan masyarakat setempat.
Katanya, Sabah mempunyai peluang untuk menjangka cabaran berkenaan lebih awal dan merancang pembangunan yang bersesuaian dengan keadaan serta keperluan negeri.
Hajiji turut mengucapkan selamat maju jaya kepada Pengarah Urusan North AIDC Datuk Chua Soon Ping, pasukan syarikat itu serta semua rakan kongsi yang terlibat dalam melaksanakan penilaian dan langkah seterusnya.
Beliau berharap pemeteraian MoU itu dapat membawa kepada kerjasama praktikal yang memberikan manfaat berkekalan kepada Sabah dan rakyatnya.

