Polis tahan lelaki warga asing, rampas 59.64 gram syabu
21:11 Nov 15, 2026  |  By SabahKini2
Polis tahan lelaki warga asing, rampas 59.64 gram syabu

Suspek berusia 23 tahun itu ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Penampang kira-kira jam 12.30 tengah malam, 14 November lalu.

PENAMPANG: Seorang lelaki warga asing ditahan polis selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu seberat 59.64 gram dalam kejadian berhampiran sebuah premis dobi 24 jam di Putatan, di sini, tengah malam semalam.

Suspek berusia 23 tahun itu ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Penampang kira-kira jam 12.30 tengah malam, 14 November lalu.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton, berkata hasil pemeriksaan terhadap suspek menemukan 11 paket plastik lutsinar pelbagai saiz yang mengandungi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.

Beliau berkata, dadah yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM6,000.

“Suspek bersama barang rampasan dibawa ke pejabat BSJND Penampang untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang daripada 12 kali, jika sabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Sammy menasihatkan orang ramai supaya tidak terbabit dalam kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah, selain menyalurkan maklumat kepada polis bagi membantu membanteras kegiatan berkenaan.

Comment