12 warga China ditahan, banglo jadi markas sindiket scam
21:11 Nov 18, 2026  |  By SabahKini2
12 warga China ditahan, banglo jadi markas sindiket scam

Kegiatan itu terbongkar selepas Jabatan Imigresen Sabah menyerbu premis berkenaan dalam Ops Serkap kira-kira 11 pagi semalam, sebelum menahan 12 lelaki warga China berusia antara 20 hingga 43 tahun.

KOTA KINABALU: Sebuah banglo di Damai, di sini, dipercayai dijadikan pusat operasi sindiket penipuan kewangan dalam talian yang menyasarkan mangsa di beberapa negara.

Kegiatan itu terbongkar selepas Jabatan Imigresen Sabah menyerbu premis berkenaan dalam Ops Serkap kira-kira 11 pagi semalam, sebelum menahan 12 lelaki warga China berusia antara 20 hingga 43 tahun.

Pengarah Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof, berkata serbuan itu turut menyaksikan rampasan 153 telefon bimbit Apple pelbagai model, 11 komputer, sebuah unit pemprosesan pusat (CPU) dan 13 penghala internet.

Katanya, pemeriksaan terhadap komputer di premis itu menemukan rekod transaksi kewangan yang dipercayai berkaitan kegiatan penipuan berkenaan.

"Ketika serbuan, 10 komputer sudah dilog keluar, namun satu lagi masih aktif dan membolehkan pasukan kami melihat transaksi yang dijalankan.

"Antara transaksi dikesan membabitkan pembayaran kira-kira RM3,900, manakala transaksi lain dianggarkan antara RM3,890 hingga RM6,140," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Sabah, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas sebuah mesin pencetak, tujuh pengecas, 22 kad SIM, tiga pasport China serta wang dalam pelbagai mata wang asing.

Menurutnya, siasatan awal mendapati sindiket itu dipercayai menyasarkan mangsa dari China, India, Kemboja dan Vietnam.

Beliau berkata, kegiatan berkenaan bukan membabitkan penipuan percintaan atau love scam, sebaliknya lebih menjurus kepada penipuan kewangan dalam talian. Kumpulan itu juga dipercayai kerap berpindah dari satu premis ke premis lain bagi mengelakkan kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.

"Apabila mereka menyedari pergerakan sedang dipantau, mereka akan berpindah ke lokasi lain, menyebabkan pasukan risikan perlu terus menjejaki mereka," katanya.

SH Sitti Saleha berkata, daripada 12 lelaki ditahan, empat didapati melakukan kesalahan tinggal lebih masa dan menyalahgunakan pas, manakala lapan lagi gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

Comment