PAPAR: Seorang kakitangan Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 8, Jalan Papar-Beaufort, ketika dalam perjalanan ke tempat kerja awal pagi Rabu.
Mangsa, lelaki berusia 46 tahun, dipercayai menunggang motosikal dari arah Papar menuju Membakut sebelum terbabit dalam kemalangan kira-kira jam 4.30 pagi.
Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan anggota badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan Hospital Papar.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, pemeriksaan awal di lokasi kejadian mendapati terdapat kesan kerosakan pada bahagian belakang motosikal yang ditunggang mangsa.
Menurutnya, polis tidak menolak kemungkinan kemalangan itu membabitkan kenderaan lain yang masih belum dikenal pasti.
“Bagaimanapun, punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan, termasuk menentukan sama ada mangsa terbabas sendiri atau dilanggar kenderaan lain. Polis kini sedang giat mengesan kenderaan yang mungkin terbabit selain mendapatkan maklumat daripada saksi bebas bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media.
Sehubungan itu, Heryan meminta orang ramai, khususnya pengguna jalan raya yang melalui kawasan berkenaan sekitar waktu kejadian, tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.
Maklumat boleh disalurkan kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor El Najeeb Abdul Rhahman menerusi talian 016-8813880.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, mematuhi peraturan lalu lintas dan mengutamakan keselamatan, terutama ketika melakukan perjalanan pada waktu malam dan awal pagi.

