Tiada tarikh khusus tambah kerusi Parlimen Sabah, Sarawak
21:11 Nov 18, 2026  |  By SabahKini2
Tiada tarikh khusus tambah kerusi Parlimen Sabah, Sarawak

Cadangan penambahan kerusi memerlukan pindaan terhadap Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan yang perlu mendapat sokongan sekurang-kurangnya dua pertiga ahli Dewan Rakyat.

KUALA LUMPUR: Kerajaan belum menetapkan tarikh khusus bagi pelaksanaan penambahan kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak, meskipun langkah awal termasuk mengadakan libat urus dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah dimulakan sejak September lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak telah mengadakan libat urus bersama SPR pada 22 September lalu susulan keputusan Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) pada 11 September lalu.

Menurutnya, mesyuarat MTPMA63 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, secara prinsip bersetuju meningkatkan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat selaras dengan semangat asal pembentukan Malaysia.

Bagaimanapun, beliau berkata, pelaksanaan cadangan itu perlu dilakukan secara berperingkat kerana membabitkan proses perundangan, teknikal serta kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya.

Katanya, cadangan penambahan kerusi memerlukan pindaan terhadap Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan yang perlu mendapat sokongan sekurang-kurangnya dua pertiga ahli Dewan Rakyat.

Selepas pindaan Perlembagaan dimuktamadkan, SPR akan melaksanakan kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya mengikut Perkara 113 dan Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan.

"Kerajaan belum menetapkan tarikh khusus bagi pembentangan pindaan Perlembagaan atau pelaksanaan penambahan kerusi kerana perkara ini masih memerlukan penelitian dari aspek perundangan, teknikal dan persempadanan pilihan raya serta rundingan dengan pihak berkepentingan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.

Mohamad Shafizan meminta kerajaan menjelaskan garis masa pelaksanaan cadangan penambahan kerusi Dewan Rakyat Sabah dan Sarawak mengikut nisbah satu pertiga seperti dipersetujui dalam MTPMA63, selain formula pemberian khas kepada Sarawak di bawah Perkara 112D.

Mengulas lanjut, Mustapha berkata, persetujuan secara prinsip untuk menambah kerusi Parlimen bagi kedua-dua negeri itu penting kerana sebelum ini belum ada keputusan tuntas berhubung perkara berkenaan.

Jelasnya, ketika pembentukan Malaysia, jumlah wakil rakyat dari Sabah, Sarawak dan Singapura merangkumi satu pertiga daripada keseluruhan komposisi Dewan Rakyat.

"Pada masa itu, sebanyak 159 orang adalah 104 ahli dari negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu, 16 ahli Sabah, 24 ahli Sarawak dan 15 ahli Singapura.

"Singapura sudah meninggalkan kita tetapi Sabah dan Sarawak, kita kena pastikan perwakilan yang tepat dalam Parlimen.

"Kita mahu suara Borneo ini cukup di Dewan Rakyat supaya apa-apa keputusan dasar yang ditetapkan di Parlimen mengambil kira kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak," katanya.

Beliau turut memberi amaran bahawa kegagalan memastikan perwakilan sewajarnya boleh menyebabkan suara Borneo semakin terpinggir pada masa hadapan, khususnya sekiranya wujud pemikiran ekstrem dalam landskap politik negara.

"Kita perlukan saiz kawasan yang tepat dan perwakilan sewajarnya untuk rakyat Sabah dan Sarawak bersuara," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mustapha berkata, cadangan pemberian 20 peratus hasil yang dijana Sarawak kepada negeri itu masih memerlukan perbincangan terperinci serta persetujuan bersama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Katanya, pemberian khas Sarawak di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan telah dinaikkan daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion berkuat kuasa tahun ini sebagai penyelesaian sementara.

Bagaimanapun, kadar berkenaan bukan penyelesaian muktamad kerana formula pemberian khas untuk jangka panjang masih dalam rundingan kedua-dua kerajaan.

Hasil rundingan itu akan diteliti Kementerian Kewangan sebelum dibawa ke Jawatankuasa Teknikal MTPMA63 untuk pertimbangan dan tindakan selanjutnya.

Comment