KOTA KINABALU: Transformasi digital Sabah perlu menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi, peningkatan kesejahteraan rakyat dan pengukuhan daya saing negeri, bukan sekadar tertumpu kepada penggunaan teknologi baharu.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata agenda pendigitalan perlu dilaksanakan seiring dengan hala tuju pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi memastikan kemajuan teknologi membawa manfaat nyata kepada rakyat.
“Pendigitalan tidak seharusnya dilaksanakan secara berasingan daripada pembangunan. Sebaliknya, ia perlu membantu kita melaksanakan pembangunan dengan lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan pada perasmian Sidang Kemuncak Digital Sabah 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ceasar Mandela Malakun.
Hajiji berkata kemajuan teknologi perlu diterjemahkan kepada peluang ekonomi yang lebih luas, penyampaian perkhidmatan awam yang lebih baik serta peningkatan taraf hidup rakyat.
Beliau berkata kekayaan sumber asli Sabah termasuk hutan, sumber marin, tanah pertanian dan biodiversiti kekal menjadi asas penting ekonomi negeri, namun transformasi digital berupaya meningkatkan nilai serta memperkukuh pengurusan sumber berkenaan.
“Aspirasi digital kita bukan untuk menggantikan kekuatan ini, tetapi untuk meningkatkan nilainya, menambah baik pengurusannya serta melindunginya demi generasi akan datang,” katanya.
Menurut beliau, kedudukan Sabah yang berhampiran pasaran negara jiran dalam kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) menyediakan peluang kepada negeri itu untuk menjadi penghubung perdagangan serantau, perkhidmatan dan pertukaran pengetahuan.
Bagaimanapun, beliau berkata kelebihan geografi berkenaan perlu disokong oleh infrastruktur yang boleh dipercayai, institusi berkeupayaan, tenaga kerja berkemahiran serta persekitaran yang menggalakkan pelaburan bertanggungjawab.
Hajiji berkata antara keutamaan transformasi digital Sabah termasuk memperkukuh kesalinghubungan dan infrastruktur digital, penggunaan kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan, kerajaan digital, keselamatan siber, keusahawanan serta pembangunan bakat.
Turut diberi perhatian ialah keterangkuman digital luar bandar, kelestarian alam sekitar dan perdagangan digital rentas sempadan.
Beliau berkata penggunaan AI perlu mempunyai matlamat yang jelas dan dilaksanakan secara bertanggungjawab bagi memastikan teknologi itu dapat menyelesaikan masalah sebenar, bukan sekadar mengikuti perkembangan semasa.
“Nilai AI bukan sekadar terletak pada penggunaan teknologi baharu, tetapi keupayaannya menyelesaikan masalah sebenar.
“Ia sama ada melalui penyampaian perkhidmatan yang lebih baik, peningkatan produktiviti, perancangan yang lebih berasaskan maklumat atau kesiapsiagaan menghadapi bencana yang lebih kukuh,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji berkata kejayaan transformasi digital Sabah tidak boleh diukur berdasarkan kemajuan teknologi semata-mata, sebaliknya berdasarkan sejauh mana manfaatnya dapat dinikmati seluruh rakyat.
Beliau berkata kemajuan digital yang hanya memberi manfaat kepada masyarakat yang mempunyai akses kesalinghubungan baik berisiko memburukkan ketidaksamaan sedia ada.
“Keterangkuman digital yang bermakna memerlukan lebih daripada sekadar liputan rangkaian. Ia memerlukan bekalan elektrik stabil, perkhidmatan mampu milik, peranti bersesuaian, kemahiran praktikal serta keyakinan untuk menggunakan teknologi dengan selamat,” katanya.
Hajiji berkata golongan muda juga perlu dilengkapi kemahiran untuk menjadi pencipta, tenaga profesional dan usahawan digital, bukan sekadar pengguna teknologi.
Menurut beliau, usaha itu memerlukan kerjasama lebih erat antara sekolah, institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), universiti serta pihak industri bagi menghubungkan pembelajaran dengan peluang pekerjaan.
Beliau berkata kerajaan negeri akan terus menambah baik usaha memudah cara pelaburan, memperkukuh penglibatan industri serta menangani halangan pelaksanaan bagi meningkatkan keyakinan pelabur.
Katanya, Sabah mengharapkan kerjasama strategik yang bukan sahaja membawa masuk modal dan teknologi baharu, tetapi turut membangunkan bakat anak negeri, memperkukuh perusahaan tempatan serta memindahkan pengetahuan bagi membina keupayaan jangka panjang.
Beliau berharap sidang kemuncak itu menjadi platform kerjasama praktikal untuk mengenal pasti masalah yang perlu diselesaikan, rakan strategik serta projek yang boleh dilaksanakan, dinilai dan diperluas sekiranya berjaya.

