Polis rampas rokok disyaki tidak bercukai dalam Op Tiris di Ranau
15:11 Nov 26, 2026  |  By SabahKini2
Polis rampas rokok disyaki tidak bercukai dalam Op Tiris di Ranau

Ketua Polis Daerah Ranau Superintenden Mursalin Mahmud berkata rampasan itu dilakukan Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (BKDNKA), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau hasil maklumat orang awam.

RANAU: Polis menahan seorang lelaki dan merampas beberapa kotak rokok pelbagai jenama yang disyaki tidak bercukai dalam Op Tiris di sebuah premis di daerah ini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Ranau Superintenden Mursalin Mahmud berkata rampasan itu dilakukan Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (BKDNKA), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau hasil maklumat orang awam.

Beliau berkata pemeriksaan dijalankan bagi memastikan pematuhan lesen penjual dan pengedar barangan keperluan bersubsidi, selain membanteras kegiatan penyelewengan serta penyeludupan.

"Hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan beberapa kotak rokok pelbagai jenama yang disyaki tidak bercukai kastam.

"Seorang lelaki turut ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan itu," katanya dalam kenyataan.

Mursalin berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Beliau berkata polis akan terus mempergiat rondaan dan pemeriksaan menerusi Op Tiris bagi membanteras kegiatan menyalahi undang-undang di daerah berkenaan.

Dalam pada itu, beliau menggalakkan orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah kepada polis menerusi Bilik Gerakan IPD Ranau di talian 088-875222.

"Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan," katanya.

Comment