Pengumuman disengajakan itu dilakukan dihadapan para penyokong yang hadir pada Ceramah Perdana Pakatan Harapan dan Warisan di Penampang
Dalam ucapannya, Wan Azizah yang merupakan calon kerusi Parlimen Pandan itu cuba 'menghasut' warga Sabah supaya menerima apa sahaja kemudahan dan manfaat yang diberikan oleh kerajaan sedia ada, Barisan Nasional (BN).
Asalkan pada PRU-14 yang diadakan pada 9 Mei depan rakyat di negeri ini digesa mengundi Pakatan Harapan dan Warisan bukannya parti BN di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Apa sahaja yang Najib sumbangkan kepada Sabah, kita ambil kerana orang sudah memberi kenapa kita perlu menolak?.
"Bagaimanapun, perlu ingat pada pilihan raya umum nanti pastikan anda memilih kami (Pakatan Harapan dan Warisan). Sudah tiba masanya kita tumbangkan BN. Kita ubah Sabah," katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Mohd. Shafie yang tegar 'mengangkat' sentimen kenegerian sebagai retorik parti Warisan seakan hilang modal apabila berulang kali membangkitkan isu yang sama dalam ucapan kempen beliau.
Antaranya ialah IMDB, Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta mempertikaikan pelantikan orang Semenanjung mengisi jawatan perkhidmatan awam di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Selain Wan Azizah dan Mohd. Shafie ceramah yang bermula pada pukul 8 malam itu turut dihadiri Pengerusi PKR Sabah, Christina Liew dan Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking. - K! ONLINE