PUTRAJAYA akan menyiarkan 41 perlawanan bola sepak Piala Dunia melalui saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM), dengan 27 daripadanya secara langsung.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata penyiaran itu dijangka melibatkan kos sehingga RM40 juta dan akan melibatkan pembiayaan dari penganjur.
“Akan ada 41 perlawanan, 27 daripadanya akan disiarkan secara langsung dan 14 daripadanya secara tertunda.
“(Kosnya) kira-kira 40 juta dan tentulah ada penganjur yang akan menyerap sebahagian daripadanya,” katanya dalam satu sidang media.
Penyiaran perlawanan tersebut merupakan salah satu daripada janji kerajaan Pakatan Harapan semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-14.
Gobind dua hari lalu berkata rancangan itu merupakan salah satu cara bagi kerajaan mempromosi semula RTM bagi meningkatkan bilangan penonton.
Walaubagaimanapun semasa temasya sebelumnya pada 2010, RTM juga diberi hak menyiarkan 35 perlawanan Piala Dunia di Afrika Selatan, dengan 24 siaran secara langsung dan 11 siaran tertunda.
Pada 1982, empat perlawanan Piala Dunia di Sepanyol disiarkan secara langsung di RTM hasil tajaan rakyat Malaysia yang menyumbang derma untuk mendapatkan penyiaran tersebut.
FIFA memberikan hak penyiaran perlawanan Piala Dunia 2018 di Malaysia kepada M League Marketing Sdn Bhd meliputi siaran di TV, radio, Internet dan peranti mudah alih.
Pada masa ini, Astro memegang hak untuk menyiarkan kesemua 64 perlawanan secara langsung melalui saluran berbayarnya.
Perlawanan bagi merebut piala paling berprestij itu akan berlangsung di Rusia pada tahun ini, melibatkan pasukan dari 32 negara.
Sepak mula perlawanan akan berlangsung pada 14 Jun, membabitkan tuan rumah, Rusia menentang Arab Saudi dalam perlawanan kumpulan A.
Perlawanan itu akan berlangsung di Stadium Luzhniki, Moscow, pada 6 petang waktu tempatan (11 malam waktu Malaysia).
Bagi EPL yang dijanjikan oleh Pakatan Harapan secara percuma belum ada kata putus mengenainya ini kerana ia melibatkan kos yang sangat tinggi. Astro sahaja pada musim 2013-2017 telah membayar hampir RM1 bilion bagi mendapatkan hak penyiaran.