Dalam satu kenyataan bersama, Presiden Star, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan dan Pengerusi BN Tuaran, Datuk Hajiji Noor berkata, berikutan itu, kesemua wakil rakyat daripada kedua-dua parti itu tidak akan hadir ke persidangan berkenaan.
Sidang khas itu dijangka digunakan untuk membawa usul menyokong Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri yang sah.
Ini berikutan tindakan saman oleh bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman ke atas Mohd. Shafie dan Yang Dipertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Mahkamah Tinggi bagi membatalkan pelantikan Mohd. Shafie.
Turut mengemukakan originating summons ialah Datuk Jahid Jahim terhadap Shafie Apdal, Speaker Dewan dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah mengisytiharkan Tan Sri Musa Aman masih Ketua Menteri Sabah yang sah dan sidang dun adalah tidak sah.
Pada 10 Mei lalu, Musa terlebih dahulu mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri, namun dua hari kemudian, Mohd. Shafie pula dilantik berikutan tindakan enam ADUN BN keluar parti selepas Pilihan Raya Umum Ke-14.