Video berdurasi 4.36 minit itu menyaksikan Wong Tack seolah-olah tidak dapat mengawal emosi dan meminta proses membersihkan kawasan kebun berkenaan yang didakwa ditanam pokok buah-buahan penduduk di tanah milik kerajaan dihentikan.
Susulan pertengkaran dalam keadaan beremosi itu yang menyaksikan Wong Tack turut menyatakan pihaknya adalah ‘kerajaan pada masa ini’ menimbulkan pelbagai reaksi daripada netizen.
Antaranya, netizen mempersoalkan cara dan sikap selain mendakwa ia mengganggu kerja penjawat awam.
Difahamkan, kerja pembersihan dilakukan sebuah syarikat yang telah membeli tanah di dalam kawasan berkenaan untuk penanaman ladang termasuk durian dan kelapa sawit.
Dalam video tersebut juga memaparkan seorang individu yang dikatakan mewakili mahkamah menyatakan mendapat perintah mahkamah untuk melakukan kerja berkenaan.
Bagaimanapun, Wong Tack meminta penjelasan mengenai ukuran tanah yang dibenarkan mahkamah.
Dalam pada itu, Wong Tack ketika dihubungi berkata, apa yang dilakukan tiada kaitan dengan politik dan hanya membela nasib penduduk di situ yang teraniaya selepas kebun mereka dimusnahkan.
Sementara itu, wakil syarikat berkenaan ketika dihubungi berkata, mereka yang melakukan tindakan berdasarkan arahan mahkamah telah meletakkan notis sebelum ini.
Katanya, pada masa ini operasi dihentikan sementara bagi memberi peluang pihak terbabit mengemukakan rayuan di mahkamah.
Sebelum ini wakil rakyat DAP Melaka turut mengamuk ala gaya genster mengherdik penduduk dan meminta maaf atas kekasarannya.
[ARTIKEL BERKAITAN- (VIDEO) Kali ketiga YB DAP Melaka mengamuk terserlah makin biadap dan menghina rakyat!]