NGO Mahasiswa 'tibai' kerajaan Warisan SOP tidak selaras hantar pelajar pulang ke Sabah
05:05 May 22, 2020  |  By SabahKini2
NGO Mahasiswa 'tibai' kerajaan Warisan SOP tidak selaras hantar pelajar pulang ke Sabah

SOP Sabah sangat teruk! Setelah sampai ke destinasi masing-masing, sebahagian pelajar terkilan dengan jawapan daripada pusat kuarantin yang tidak tahu berkenaan kedatangan mereka yang tiba dari Semenanjung.

SURAT TERBUKA KEPADA KERAJAAN NEGERI SABAH : PERKEMASKAN STANDARD OPERATING PROCEDURE (SOP) PENGHANTARAN PELAJAR PULANG KE SABAH

Berikutan isu penghantaran pulang pelajar IPT ke negeri Sabah, Markas Siswa-Siswi Islam Sabah (MARSIS) dan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia Sabah (GAMIS) Sabah terpanggil untuk mewakili mahasiswa Sabah dalam menyuarakan beberapa permasalahan dan memberi penambahbaikan tentang Standard Operating Procedure (SOP) yang dikendalikan oleh Kerajaan Negeri Sabah.

Kenyataan ini dikeluarkan rentetan aduan dan keluhan daripada mahasiswa Sabah yang mengalami sendiri perjalanan balik ke negeri Sabah. MARSIS sebagai NGO yang menjaga kebajikan mahasiswa Sabah yang menuntut di IPT seluruh Semenanjung mengambil berat akan isu yang diutarakan oleh mereka.

Perkara ini dinilai berdasarkan pengalaman mahasiswa Sabah yang dihantar pulang dari Semenanjung oleh Kementerian Pelajaran Tinggi (KPT) dan melalui proses tersebut bermula dari lapangan ketibaan hingga ke pusat kuarantin daerah masing-masing.

Antara permasalahan yang dilontarkan adalah :

1. SOP tidak selaras.

a) Kami menerima maklumat bahawa ada pihak yang membenarkan pelajar IPT untuk menjalani home-quarantine sebelum mendapat keputusan swab test sedangkan pelajar yang lain wajib dihantar ke pusat kuarantin meskipun tinggal di tempat yang berstatus green-zone.

Bukan kesamarataan yang dipersoalkan, tetapi kebimbangan kami tentang risiko yang bakal melanda ahli keluarga pelajar apabila tinggal serumah tanpa mengetahui status kesihatan mereka.

b) Bagasi tidak dinyahkuman sepanjang pengurusan penghantaran pelajar dari KKIA sehingga ke pusat kuarantin. Untuk pengetahuan, pemindahan bagasi dilakukan oleh banyak pihak termasuklah Jabatan Sukarelawan Sabah, kontraktor bas dan pihak yang bertugas di pusat kuarantin.

c) Pelajar tidak mendapat kit penjagaan seperti topeng muka dan gel pembasmi kuman sebaik tiba di KKIA. Kebanyakan pelajar hanya bergantung kepada kit yang dibekalkan dari universiti masing-masing menyebabkan topeng muka dipakai dalam jangka masa yang lama.

d) Sebahagian Patient Under Investigation (PUI) tidak mendapat pantauan harian seperti yang termaktub dalam SOP penerimaan pelajar yang tiba di KKIA iaitu PUI sepatutnya dipantau melalui Sistem Pemantauan Harian Covid-19 oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

e) Gelang tangan penanda tidak dipasang kepada sebahagian pelajar yang perlu menjalani kuarantin berkemungkinan menyebabkan kesukaran untuk mengenalpasti mereka yang berpontensi menjadi ‘pembawa’ apabila bercampur dalam satu ruangan.

2. Ketidaksediaan untuk menerima ketibaan pelajar Sabah.

a) Setelah sampai ke destinasi masing-masing, sebahagian pelajar terkilan dengan jawapan daripada pusat kuarantin yang tidak tahu berkenaan kedatangan mereka yang tiba dari Semenanjung.

Kami difahamkan berlaku ‘tolak-menolak’ sesama pihak yang berkenaan mengakibatkan pelajar menunggu dalam jangka masa yang lama sebelum masuk ke pusat kuarantin.

Namun berbeza halnya dengan daerah lain yang menyambut kedatangan pelajar dengan penuh kesediaan serta taklimat yang tersusun.

b) Pemberhentian serta-merta penghantaran pelajar balik ke Sabah walhal data pelajar telah dimaklumkan jumlahnya lebih awal. Untuk pengetahuan, semua penerbangan yang dikendalikan oleh pihak KPT telah diberhentikan buat sementara berkuat-kuasa 18 Mei 2020 sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Hal ini mengakibatkan ramai lagi mahasiswa yang sepatutnya berangkat pulang ke Sabah terpaksa akur dan terkandas di kampus masing-masing.

c) Kerajaan Negeri Sabah turut memberikan justifikasi bahawa penangguhan tersebut adalah disebabkan oleh kekurangan penempatan di pusat kuarantin walhal banyak aduan yang telah disuarakan melalui media sosial berkenaan dengan masalah pengurusan di pusat kuarantin yang sedia ada sehingga ke hari ini.

Oleh itu, MARSIS dan GAMIS Sabah mewakili semua mahasiswa khususnya mahasiswa yang terkandas dan bakal melalui SOP yang dikendalikan oleh pihak yang berwajib mengharapkan agar perkara ini diberi perhatian dan penambahbaikan berdasarkan kelemahan yang berlaku sebelum ini.

Kami juga mencadangkan Kerajaan Negeri Sabah mengambil contoh mekanisme dan pendekatan yang telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri Sarawak dalam menerima pelajar mereka yang datang dari luar Sarawak.

Terdapat beberapa cadangan penambahbaikan yang perlu diambil perhatian, antaranya adalah :

1. Perkemaskan SOP bermula dari lapangan terbang hingga pelajar selamat tiba ke pusat kuarantin ataupun kediaman. Pihak yang bertugas perlu dipantau bagi memastikan SOP diaplikasi ketika berada di lapangan.

2. Meneliti semula bilangan pusat kuarantin yang diwujudkan. Kerajaan Negeri Sabah perlu realistik dengan bilangan pusat kuarantin dan jumlah pelajar yang akan ditempatkan di sana.

Kami dimaklumkan Kerajaan Negeri Sabah menerima dana berjumlah RM200 juta untuk menguruskan perkara ini. Oleh demikian, pelaksanaan operasi ini sepatutnya dikendalikan dengan lebih cekap dan telus.

Rujuk :https://www.utusanborneo.com.my/…/nizam-gesa-kerajaan-ambil…

3. Menjaga kebajikan pelajar yang ditempatkan di pusat kuarantin dari segi kebersihan, keselamatan, fasiliti, dan sumber makanan. Hal ini termasuklah mempertimbangkan kemudahan internet terutama bagi pelajar yang menjalani E-Learning mahupun mereka yang ingin menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah.

4. Kerajaan Negeri Sabah perlu mempertimbangkan pakej bantuan kepada pelajar khususnya bagi mahasiswa Sabah yang terkandas di kampus mahupun mereka yang menyewa rumah di luar kampus.

Oleh itu, besar harapan kami untuk melihat proses penghantaran pelajar pulang dibawah kendalian pihak yang berwajib khususnya Kementerian Pelajaran & Inovasi Sabah (KPINS) serta JKNS berjalan lancar dengan mekanisme yang lebih baik berbanding sebelumnya.

Kami berpendapat adalah tidak wajar untuk warga net menyalahkan pelajar IPT semata sekiranya wujud masalah yang timbul akibat daripada SOP yang tidak dikendalikan dengan baik. Usaha giat bagi membendung penularan wabak Covid-19 seharusnya diperkukuh oleh semua pihak.

Kami berharap agar perkara ini mendapat perhatian daripada pihak yang berwajib agar semua pelajar tidak cuma berjaya dihantar pulang tetapi juga terhindar dan tidak menjadi pembawa wabak Covid-19 kepada keluarga mereka.

Akhir sekali, tidak lupa juga ucapan terima kasih kepada petugas barisan hadapan yang berkorban dan bertungkus-lumus dalam menguruskan proses penerimaan pelajar. MARSIS dan GAMIS Sabah juga berharap semua pelajar mematuhi SOP yang telah disediakan. Kerjasama antara semua pihak pasti akan membantu pihak kerajaan untuk membendung penularan wabak ini.

MARSIS bersedia untuk memberi kerjasama dalam hal-hal yang melibatkan kebajikan mahasiswa dan membuka ruang perbincangan bersama Kerajaan Negeri Sabah. Semoga teguran dan saranan ini diterima secara baik dengan hati yang terbuka demi kebaikan bersama.

MOHD ZOFRIE ZULHILMI BIN RUSLEE,
PRESIDEN MARKAS SISWA-SISWI ISLAM SABAH.

MHD ASISAL BIN ABBAS,
PENGERUSI GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SE-MALAYSIA SABAH

https://www.facebook.com/385252381527652/posts/3122795407773322/?d=n

[ARTIKEL BERKAITAN-  Pengarah JKNS, MKN Negeri dikecam ikut 'SOP' Shafie Apdal susahkan 10,000 pelajar IPT lepas tu U-Turn!]

[ARTIKEL BERKAITAN-  Kluster IPT Sabah pusat kuarantin tak cukup, kluster 'Pulau Gaya' PATI dirahsiakan? ]

5 Comments