Apa sebenarnya yang berlaku? Siapa sebenarnya 'kawan' yang menasihat Ahmad Zahid supaya tidak hadir ke Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tuaran itu? Hajiji Ketua Menteri hadir dengan tenang bersama pemimpin PH. Apakah ini menunjukkan UMNO Sabah bergolak?
Kredit Video- Astro Awani
Siapa sebenarnya 'kawan' yang menasihat Ahmad Zahid supaya tidak hadir ke Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tuaran itu? Istiqarah Ahmad Zahid nampaknya lebih benar untuk Ahmad Zahid hadir ke Tuaran bersama Rahman Dahlan dan Datuk Seri Hajiji Ketua Menteri.
Apa sebenarnya berlaku dalam UMNO Sabah? Pergeseran Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar dan timbalannya Datuk Seri Rahman Dahlan semakin jelas apabila Bung Moktar tidak hadir dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tuaran ketika Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi merasmi mesyuarat itu.
Mesyuarat dihadiri Datuk Seri Panglima Hj Hajiji Mohd Noor Ketua Menteri Sabah itu turut disertai pemimpin PH Datuk Christina Liew, Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud dan beberapa pemimpin GRS. Bung Moktar tidak hadir tetapi hadir di Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sepanggar.
Apa sebenarnya mesej yang cuba dibawa Datuk Seri Rahman Dahlan dan Datuk Seri Zahid Hamidi? Umum mengetahui UMNO Sabah pecah kepada dua bahagian antara tim Bung Moktar dengan tim Rahman.
Kedua-duanya membawa misi berbeza selepas Bung Moktar menarik sokongan dari kerajaan sejak 6 januari 2023. Langkah Kinabalu itu gagal UMNO Sabah berpecah, beberapa pemimpin mudanya kekal menyokong Datuk Seri Hajiji Ketua Menteri. Semakin dekat PRN 17 UMNO Sabah mula berpaksi kepada kerjasama dengan Warisan sambil cuba menarik Pakatan Harapan di Sabah.
GRS pula cuba mengekalkan kerjasama dengan PH Sabah. Kehadiran Christina Liew Pengerusi PH Sabah dan Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud menggambarkan sokongan mereka kekal kepada Hajiji.
Kehadiran Datuk Seri Hajiji ke Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tuaran nampaknya menambahkan lagi perpecahan UMNO Sabah. Rahman Dahlan memberi persepsi bayangan UMNO Sabah sepatutnya bekerjasama dengan GRS. Kehadiran Datuk Seri Panglima Salleh Said pemimpin besar dibalik ‘Langkah Kinabalu’juga membayang beliau menolak usaha Bung Moktar untuk bergabung dengan Warisan Shafie.
Politik Hajiji yang tenang tetapi menggoyangkan lawan
Bagi Hajiji kehadirannya sebagai jemputan Datuk Seri Rahman bukan sekadar hadir mesyuarat parti tetapi menghormati kedudukan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Bagi Hajiji berbeza politik tidak mengapa kerana semua pemimpin adalah sahabat-sahabat lama. Itulah cara Hajiji sejak dulu. Sesiapapun termasuk musuh politik dilayan baik apatah lagi jika kawan lama.
Istiqarah Zahid dan nasihat pemimpin UMNO Sabah
Nampaknya itu apa yang Ahmad Zahid rasai. Ahmad Zahid mengakui beliau beristiqarah sebelum hadir perasmian mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Tuaran yang turut dihadiri Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor yang kini jadi musuh politik Pengerusi UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Alasan Zahid ialah Kestabilan politik dalam memastikan kesejahteraan rakyat selain memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan di Sabah.
Menurut Ahmad Zahid kebersamaan dalam kerajaan perpaduan sangat penting sekalipun terdapat nasihat pemimpin UMNO Negeri dan pegawainya melarang hadir mesyuarat itu.
“Walaupun saya tahu ada di kalangan rakan-rakan yang (pemimpin UMNO) memberikan pandangan bahawa saya harus menilai semula keputusan untuk datang merasmikan mesyuarat UMNO Bahagian Tuaran kerana keberadaan Ketua Menteri Sabah, rakan-rakan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan juga pemimpin dari PH.
“Itu nasihat kawan-kawan, namun saya melakukan istiqarah, siapapun yang datang, ini adalah kawan-kawan saya dan saya mengambil risiko untuk datang ke Tuaran ini bukan bererti kita meninggalkan mana-mana kawan,” katanya.
Ahmad Zahid menjelaskan mengenai musuh politik kerana politik sesuatu yang dinamik . Dulu jadi rakan kini jadi musuh.
“Bagi saya soal musuh kamu, itu hal kamu, sahabat kamu adalah sahabat saya juga. Untuk itu, maka kebersamaan kita dalam perjuangan, sama ada parti atau mana-mana organisasi kesukarelawanan, pendirian kita harus jelas.
“Di sana memang ada musuh menanti, tapi kita harus ingat bahawa tidak ada rakan yang kalah dan tidak ada musuh tetap kalah tetapi kita tahu bahawa politik adalah sesuatu yang sangat dinamik.
“Dulu kawan, sekarang musuh, sekarang musuh yang akan datang mungkin akan jadi kawan kerana politik itu dinamik. Apa yang penting ialah kestabilan politik harus jadi tajuk utama kepada kesejahteraan rakyat secara keseluruhan khususnya di Sabah,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, semua pemimpin perlu mempelajari soal adab atau akhlak bagi menangani perbezaan pendapat yang berlaku.
“Perbezaan pendapat itu boleh diraikan tetapi ada adab, ada akhlak dan ada tatacara untuk menanganinya. Maka dalam keadaan itulah saya amat menghormati keberadaan Ketua Menteri dalam majlis UMNO ini,” katanya.
Apakah dengan kehadiran Presiden UMNO di Tuaran maka akan ada perubahan Pengerusi erhubungan UMNO baharu pada bulan julai? Jika Zahid berani tidak mengikut nasihat pemimpin UMNO Sabah bemakna Zahid juga berani mengubah semuanya.