Tindakan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang lantang menuduh kematian pelajar berusia 13 tahun, Zara Qairina Mahathir, sebagai “murder” (pembunuhan) akhirnya memakan diri apabila Mahkamah Koroner hari ini mengeluarkan notis tunjuk sebab kerana menghina prosiding inkues.
Koroner Amir Shah Amir Hassan membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan peguam kanan, Datuk Ram Singh, yang berhujah kenyataan Shafie jelas subjudis dan berpotensi menjejaskan integriti prosiding inkues yang sedang berlangsung.
“Rakaman video kenyataan beliau sudah diperdengarkan di mahkamah walaupun bukan versi penuh. Tetapi sudah cukup untuk menunjukkan ia memberi tekanan kepada saksi-saksi, khususnya kanak-kanak yang memberi keterangan,” kata Ram Singh.
Permohonan itu turut disokong semua pihak dalam prosiding, termasuk peguam mewakili keluarga Zara, pelajar lain serta pihak pengendali inkues.
Shafie tunggang isu Zara
Dalam video tular yang dirakam di sebuah majlis makan malam, Shafie kedengaran berkata:
“Itu budak sudah mati, bukan buli, it’s a murder. Betul kah?”
Ucapan itu disambut dengan jeritan “Betul” daripada hadirin. Kenyataan tersebut dianggap keterlaluan kerana dibuat selepas Peguam Negara dan mahkamah mengeluarkan pernyataan rasmi berhubung inkues.
Peguam Joan Goh menjelaskan, perintah ini dibuat di bawah Aturan 52, Kaedah 2B Kaedah-Kaedah Mahkamah, yang mewajibkan Shafie memberi penjelasan. Jika gagal meyakinkan mahkamah, prosiding menghina mahkamah boleh diteruskan terhadap beliau.
Peguam Azhier Farhan Arisin, yang mewakili pelajar B, C, D dan E, mengesahkan sokongan penuh terhadap permohonan itu.
“Sebagai pihak dalam prosiding, kami sepenuhnya menyokong hujahan Datuk Ram Singh. Tidak wajar kenyataan politik mengganggu proses mencari kebenaran,” katanya.
Peguam Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, yang mewakili ibu Zara Qairina, turut menyatakan perkara sama.
“Mereka (ibu Zara) amat terkesan. Objektif utama inkues ini ialah merungkai kebenaran, bukan dipengaruhi tekanan luar,” jelasnya.
[ARTIKEL BERKAITAN- [VIDEO] Selepas 'mengekorkan' Cina, mengkafirkan murut kini Shafie hina mahkamah tuduh budak Zara mati dibunuh! ]
Politik murahan Shafie ‘Sempornarian’
Langkah Shafie mengeluarkan kenyataan terburu-buru jelas satu strategi politik murahan untuk menunjuk simpati rakyat, tetapi akhirnya menjadi liabiliti kepada dirinya sendiri.
Inkues Zara Qairina kini memasuki hari ke-11 dan mahkamah menegaskan tiada siapa, termasuk ahli politik besar seperti Shafie, boleh sewenang-wenangnya mengganggu perjalanan prosiding.
Dengan notis tunjuk sebab ini, Shafie bukan sahaja berdepan risiko tindakan mahkamah, malah turut mencalarkan imej Warisan yang semakin lemah menjelang PRN Sabah.
Prosedur Menghina Mahkamah
Kes ini dibawa melalui Aturan 52 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 (Rules of Court 2012).
Mengikut aturan tersebut, mahkamah boleh mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada mana-mana individu yang membuat kenyataan menghina mahkamah. Individu berkenaan wajib memberikan penjelasan bertulis atau lisan di hadapan mahkamah.
Jika penjelasan gagal meyakinkan, mahkamah boleh meneruskan prosiding penuh penghinaan mahkamah (contempt proceedings) dan menjatuhkan hukuman.
Hukuman Jika Disabitkan
- Denda – lazimnya antara RM2,000 hingga RM30,000.
- Penjara – kebiasaannya sehingga 3–6 bulan.
- Amaran / Permohonan maaf terbuka – mahkamah boleh menerima dan melepaskan tanpa hukuman berat.
Namun, dari sudut Perlembagaan Persekutuan (Perkara 48(1)(e)):
- Jika Ahli Parlimen didenda lebih RM2,000 atau dipenjara setahun atau lebih, kelayakan sebagai Ahli Parlimen akan gugur.
- Jika hanya denda RM2,000 atau bawah, atau penjara kurang setahun, Shafie masih boleh kekal sebagai MP Semporna.
Shafie mungkin menyangka kenyataan pedasnya akan mengutip simpati politik, tetapi realitinya beliau kini berdepan risiko didenda atau dipenjara kerana melanggar batas undang-undang.
Lebih parah, jika denda melebihi RM2,000 atau penjara setahun dijatuhkan, kerusi Parlimen Semporna yang menjadi kubu kuat Warisan boleh gugur secara automatik.
Mahkamah sudah menghantar isyarat jelas – tiada siapa lebih besar daripada undang-undang, termasuk Shafie Apdal.