KUALA LUMPUR: Malaysia mencatat satu lagi kejayaan besar dalam pertikaian antarabangsa berkaitan tuntutan pihak yang mengaku sebagai waris Kesultanan Sulu, selepas Mahkamah Rayuan Paris menolak dan membatalkan sepenuhnya Award Akhir yang pernah dikeluarkan terhadap negara dalam kes timbang tara berbilion dolar itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, menyifatkan keputusan tersebut sebagai “kemenangan maruah dan kedaulatan” yang mengembalikan keyakinan terhadap posisi undang-undang Malaysia dalam pertikaian panjang itu.
Menurutnya, usaha bersepadu melibatkan pelbagai agensi kerajaan menjadi faktor utama kejayaan ini.
“Bagi pihak War Room Sekretariat Khas Sulu, saya merakamkan setinggi penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, rakan-rakan Kabinet, Jabatan Peguam Negara, Wisma Putra, BHEUU serta semua agensi yang bekerja tanpa henti demi mempertahankan kepentingan negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Keputusan terbaharu itu menyaksikan Mahkamah Rayuan Paris bukan sahaja membatalkan keseluruhan Award Akhir yang dikeluarkan penimbang tara Gonzalo Stampa pada 28 Februari 2022, malah mengarahkan kumpulan penuntut membayar kos prosiding sebanyak €200,000 kepada Malaysia. War Room Sekretariat Khas Sulu mengesahkan bahawa keputusan itu dimaklumkan pada 9 Disember dan penghakiman penuh diterima kerajaan pagi tadi.
Mahkamah Rayuan Paris memutuskan bahawa Stampa tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan sebarang keputusan timbang tara kerana tiada perjanjian sah yang mengikat Malaysia dalam proses tersebut — justeru keseluruhan keputusan timbang tara sebelumnya dianggap tidak sah dan terbatal.
Ini merupakan kemenangan susulan selepas mahkamah sama menolak pengiktirafan Partial Award pada Jun 2023, satu keputusan yang kemudian disahkan oleh Mahkamah Agung Perancis pada November 2024.
Kes tuntutan Sulu bermula selepas lapan individu dari Filipina yang mendakwa sebagai keturunan Kesultanan Sulu memulakan prosiding timbang tara di Sepanyol, menuntut jumlah pampasan mencecah AS$14.9 bilion berkaitan Sabah. Pada 2019, mahkamah Madrid melantik Stampa sebagai penimbang tara, namun pelantikan itu kemudian dibatalkan — menjadikan keseluruhan proses timbang tara selepas itu tidak sah dari segi undang-undang Sepanyol dan antarabangsa.
Dengan pembatalan ini, Malaysia mengekalkan kedudukannya bahawa tuntutan berkenaan tidak berasas dan tidak sah di sisi undang-undang, sekaligus memberi tamparan besar kepada usaha pihak penuntut yang cuba menguatkuasakan award tersebut di pelbagai negara.
Keputusan Paris ini dilihat sebagai perkembangan kritikal yang semakin mengukuhkan pendirian Malaysia dalam menutup ruang eksploitasi undang-undang oleh pihak luar yang cuba mencabar kedudukan Sabah sebagai sebahagian daripada Persekutuan Malaysia.
ARTIKEL BERKAITAN- Kemenangan Mutlak Malaysia: Sabah hampir tergadai kepada Sulu kerana kebodohan Shafie dan Tommy Thomas
=

1 