UMS wajar tegas, nama baik universiti bukan milik kumpulan mahasiswa biadab!
00:06 Jun 21, 2026  |  By SabahKini2
UMS wajar tegas, nama baik universiti bukan milik kumpulan mahasiswa biadab!

UMS mengesahkan tindakan tatatertib diambil terhadap dua mahasiswa yang didakwa terbabit dalam insiden kekecohan bersama pihak berkuasa semasa protes berhubung isu perobohan rumah di Kampung Asaon, Matunggong. Mereka menjejaskan nama baik UMS

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim, tidak sepatutnya terheret dalam polemik yang melibatkan kumpulan mahasiswa anti-establishment. Pengalaman dan perjuangan beliau ketika bergelar aktivis mahasiswa suatu ketika dahulu tidak semestinya boleh dijadikan justifikasi bahawa pendekatan sama wajar diikuti oleh mahasiswa pada hari ini.

Malah, sekiranya benar beliau berpendapat bahawa agenda perjuangan mahasiswa terdahulu telah mencapai matlamatnya, termasuk isu menghapuskan PTPTN, beliau kini berada dalam kedudukan sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi untuk melaksanakan dasar dan penyelesaian melalui saluran pentadbiran kerajaan.

Dalam isu ini, Universiti Malaysia Sabah (UMS) wajar diberi ruang untuk menjalankan tanggungjawab dan fungsi autonominya. Autonomi sesebuah universiti perlu dihormati, termasuk dalam mengurus dan mengambil tindakan tatatertib terhadap pelajarnya berdasarkan peraturan serta undang-undang yang berkuat kuasa.

Sebelum ini, UMS mengesahkan bahawa tindakan tatatertib telah dimulakan terhadap dua mahasiswa yang didakwa terbabit dalam insiden kekecohan bersama pihak berkuasa semasa protes berhubung isu perobohan rumah di Kampung Asaon, Matunggong, Kudat pada Mei lalu. Menurut universiti itu, tindakan tersebut dibuat berdasarkan maklumat yang diterima mengenai dakwaan pembabitan mereka dalam insiden yang didakwa menjejaskan ketenteraman awam serta kepentingan, nama baik dan integriti universiti.

Apa yang perlu difahami ialah prosiding yang dijalankan bukanlah hukuman muktamad. UMS sendiri menjelaskan bahawa proses berkenaan sedang berjalan mengikut Kaedah-Kaedah Universiti dan Kolej Universiti (Universiti Malaysia Sabah) (Tatatertib Mahasiswa) 2024 serta peruntukan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU). Malah, universiti itu turut menegaskan bahawa setiap tindakan akan dilaksanakan secara adil, telus dan mengikut lunas undang-undang.

UMS juga tidak pernah menafikan hak mahasiswa untuk menyuarakan pandangan atau mengambil pendirian terhadap isu masyarakat dan komuniti setempat. Namun, universiti dengan jelas menyatakan bahawa kebebasan tersebut perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab, mematuhi undang-undang serta mengambil kira kepentingan semua pihak.

Hak seseorang mahasiswa sebagai individu untuk terlibat dalam sesuatu aktiviti kemasyarakatan tidak seharusnya secara automatik mengheret nama baik universiti ke dalam sesuatu konflik yang tidak berkaitan dengan fungsi akademik institusi tersebut.

UMS merupakan sebuah institusi pendidikan tinggi yang menjadi kebanggaan rakyat dan alumninya. Reputasinya dibina melalui kecemerlangan akademik, penyelidikan, inovasi dan pembangunan modal insan. Nama universiti tidak sewajarnya dijadikan platform untuk mengaitkan institusi dengan sebarang aktiviti luar kampus yang berpotensi mencetuskan persepsi negatif terhadap seluruh warga universitinya.

Lebih penting, masyarakat dan bakal majikan sering menilai sesebuah universiti berdasarkan reputasi yang dibina selama bertahun-tahun. Sekiranya nama institusi kerap dikaitkan dengan konflik, rusuhan, pertembungan dengan pihak berkuasa atau aktiviti yang mengganggu ketenteraman awam, ia boleh memberi kesan kepada persepsi terhadap graduan universiti tersebut secara keseluruhannya, walaupun majoriti mahasiswa tidak terlibat.

Atas sebab itu, tindakan UMS untuk menyiasat dan menjalankan prosiding tatatertib tidak sepatutnya terus dilihat sebagai usaha menyekat kebebasan bersuara. Sebaliknya, ia merupakan sebahagian daripada tanggungjawab universiti untuk memastikan setiap mahasiswa mematuhi peraturan yang ditetapkan serta menjaga nama baik institusi.

Kenyataan Adam Adli bahawa mahasiswa perlu diberi ruang untuk menguji pemikiran kritis dan terlibat dalam proses demokrasi mempunyai asas tersendiri. Namun, dalam masa yang sama, prinsip autonomi universiti juga perlu dihormati. Campur tangan politik dalam urusan tatatertib institusi pengajian tinggi berpotensi mewujudkan persepsi bahawa keputusan disiplin boleh dipengaruhi oleh tekanan luar.

Dalam kes ini, UMS sendiri telah menjelaskan bahawa tindakan yang diambil tidak berkaitan dengan mana-mana perhimpunan Gempur Rasuah Sabah, sebaliknya tertumpu kepada insiden di Kampung Asaon. Universiti juga menafikan bahawa tindakan tatatertib itu bertujuan menghukum mahasiswa kerana menyertai demonstrasi antirasuah.

Apa yang penting ialah proses yang sedang berjalan perlu diberi ruang untuk diselesaikan mengikut peraturan sedia ada. Mahasiswa yang terlibat berhak membela diri, manakala universiti pula berhak menjalankan tanggungjawabnya bagi memastikan disiplin dan nama baik institusi terus dipelihara.

Universiti bukanlah pentas politik kepartian, tetapi sebuah institusi ilmu yang mempunyai tanggungjawab membentuk graduan berintegriti, beradab dan profesional. Kebebasan bersuara dan aktivisme mahasiswa perlu diraikan, namun ia juga mesti diseimbangkan dengan tanggungjawab menjaga maruah institusi yang menjadi tempat mereka menimba ilmu.

Ketegasan UMS dalam mengendalikan perkara ini, selagi dilaksanakan secara adil dan mengikut prosedur, bukan sahaja mempertahankan integriti universiti malah menghantar mesej bahawa kebebasan sentiasa datang bersama tanggungjawab.

Nama baik UMS adalah aset bersama yang wajar dipelihara demi kepentingan generasi mahasiswa hari ini dan masa hadapan.

 

NGO Haram Suara Mahasiswa UMS perosak nama ‘UMS’

Melihat kepada perkembangan gerakan Suara Mahasiswa UMS yang pernah dipelopori oleh Mukmin Nantang tidak menghairankan jika sebahagian alumninya masih aktif dalam pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan gerakan advokasi. Namun, persoalan yang wajar dibangkitkan ialah sama ada pendekatan yang digunakan benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat atau sekadar mengejar publisiti dan konfrontasi.

Kritikan juga sering dilemparkan terhadap segelintir aktivis yang dilihat lebih cenderung kepada aktivisme jalanan berbanding membina kerjaya profesional dan menyumbang melalui saluran yang lebih konstruktif. Bagi pengkritik, tindakan sedemikian berpotensi memberi persepsi negatif terhadap graduan dan mahasiswa UMS di mata masyarakat serta bakal majikan.

Provokasi bakar karikatur PMX: Langgar syarat himpunan aman, mahasiswa UMS & dalang Warisan wajar disiasat
Budak budak yang sama

Rekod beberapa siri demonstrasi yang dikaitkan dengan kumpulan tersebut turut mencetuskan kontroversi. Antaranya termasuk tindakan membakar karikatur PMX, mengeluarkan kenyataan menghina institusi Yang di-Pertua Negeri (TYT), mengkritik kepimpinan negeri secara terbuka serta memperlekeh pentadbiran universiti, termasuk Naib Canselor. Bagi banyak pihak, kebebasan bersuara adalah hak yang perlu dihormati, namun ia sewajarnya disertai dengan adab, tanggungjawab dan penghormatan terhadap institusi yang menjadi tunjang masyarakat.

Dalam satu pendedahan jelas suara mahasiswa yang menggunakan nama UMS ini didalangi oleh NGO Mandiri yang dibiayai oleh ejen luar Tides Foundation dan George Soros.

 

ARTIKEL BERKAITAN- NGO Mandiri ditaja Tides Foundation dan Soros buat kacau di Sabah peralat Mahasiswa untuk demo Gempur Rasuah Sabah 3.0

 

Comment